Dosa besar jadikan agama Islam sebagai bahan jenaka - Mufti
Sinar Harian
Julai 16, 2022 06:45 MYT
Julai 16, 2022 06:45 MYT
SHAH ALAM: Perbuatan menyindir, mempermain, mengejek-ejek dan menjadikan agama Islam sebagai bahan jenaka adalah haram dan berdosa besar.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantaran di Facebook berkata, perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama Islam kebiasaannya dilakukan oleh insan yang jahil ilmu agamanya.
Katanya, kejahilan itu hanya dapat diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada individu yang lebih berpengetahuan.
“Disebabkan kejahilan tersebut, maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui gurau senda, momokan, jenaka dan mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi dalam diri.
“Masyarakat Malaysia seharusnya bersama-sama menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat.
“Kita mesti melihat trend ini sebagai ancaman pada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa yang dinikmati oleh negara selama ini,” katanya pada Sabtu.
Hantaran itu dibuat sebagai mengulas mengenai seorang wanita yang ditangkap dan didakwa baru-baru ini atas kesalahan menghina Islam susulan tular video persembahan lawak pentas di kelab komedi.
Wanita berkenaan tampil dengan berpakaian menjolok mata sambil mengakui dirinya berbangsa Melayu, beragama Islam dan mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran.
Menurutnya, perbuatan berjenaka dengan mempersenda dan menghina agama adalah menjadi kesalahan jenayah syariah dari sudut undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.
“Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama ini dipandang hina dan mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam boleh disabitkan sebagai satu kesalahan.
“Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam dan Seksyen 8 iaitu mempersendakan ayat al-Quran atau hadith,” jelasnya. - Sinar Harian