Dorongan politik matang asas pembangunan Kampong Bharu - MAS

Astro Awani
April 6, 2018 06:45 MYT
Pembangunan yang teratur dan tidak tergesa-gesa Kampong Bharu memastikan kepuasan penduduk secara keseluruhan. - Gambar fail
Pembangunan Kampong Bharu selama ini berasaskan dorongan politik yang matang selain kerjasama penduduk yang mahukan kemajuan di penempatan yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini.
Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Samsuri Suradi berkata, pembangunan yang teratur dan tidak tergesa-gesa di kawasan itu juga memastikan kepuasan penduduk secara keseluruhan.
"Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sentiasa mendengar masalah, terutama isu tanah yang kecil-kecil dengan ramai pemilik, selain sekatan pemilikan kepada Melayu sahaja.
"Maka pembangunan di sini jangan dilakukan secara tergesa-gesa, yang mana pemilik atau pengguna perlu menikmati pembangunan sepenuhnya di akhirnya.
"Keikhlasan pemimpin dan kesediaan penduduk dalam memastikan perancangan pembangunan menjadi kenyataan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: Merdeka Kampong Bharu, merdekalah Melayu!
BACA: Pembangunan Kampong Bharu: Sehingga mata tertutup
Kampong Bharu dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kata Samsuri, Johari dilihat individu yang mampu menukar landskap permodenan selain memperjuangkan status tanah di Kampong Bharu.
"Setiap inci tanah ini perlu kekal di tangan orang Melayu. Rata-rata penduduk di sini perlu bersatu dalam memperjuangkan isu Melayu dalam situasi sekarang ini.
"Dalam hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampong Bharu, pihak Perbadanan Kampong Bharu (PKB) perlu bekerjasama dengan MAS.
"Di sini bukan seperti Putrajaya atau Iskandar yang mana semasa dibangunkan tiada penghuninya," ujarnya.
Tambahnya, kampung itu kini berusia 118 tahun dan perlu dilihat juga masalah selain perancangannya oleh PKB.
"Dalam waktu yang sama, Putrajaya perlu mengiktiraf kewujudan MAS dengan bantuan kewangan dan kepakarannya dalam penyelesaian isu harta pusaka.
"Isu tersebut merupakan penghalang utama waktu ini untuk pemilik membangunkan tanah mereka," katanya.
Sebelum ini, Pemaju hartanah yang juga anak jati Kampong Bharu, Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim berkata, perkampungan Melayu itu sudah merasai perit getir negara mencapai kemerdekaan selain pernah dihiris sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969.
#JOHARI ABDUL GHANI #Kampong Bharu #Melayu #Merdeka #PKB #Samsuri Suradi
;