Dominic Lau tidak kisah dengan calon Bebas mesra PKR

Bernama
Mei 2, 2018 06:27 MYT
Dominic berkata beliau memberi khidmat kepada penduduk di kawasan Batu sejak lapan tahun lalu dan membantu masyarakat di situ menikmati kualiti hidup yang lebih baik menerusi pelbagai inisiatif pembangunan. - Facebook Dominic Lau
Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan dua calon Bebas yang berminat meraih sokongan PKR di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Ini susulan penolakan pencalonan penyandang kerusi tersebut selama dua penggal, Chua Tian Chang atau Tian Chua oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.
Dominic, calon Barisan Nasional (BN), berkata beliau tidak kisah jika calon Bebas, Datuk V.M. Panjamorthy, 63, atau P. Prabakaran, 22, bertanding atas sokongan PKR selepas permohonan Tian Chua, yang juga naib presiden PKR, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu ditolak oleh SPR.
"Saya menghormati hasrat calon Bebas jika mahu bertanding atas sokongan PKR kerana Malaysia adalah negara demokrasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi bertemu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kelantan di Sentul, di sini, malam tadi.
Beliau mengulas hasrat calon Bebas untuk meraih sokongan PKR pada PRU14 selepas permohonan Tian Chua untuk bertanding ditolak oleh SPR atas alasan dia dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah bagi kesalahan memaki polis di Twitter pada 2013.
Dominic berkata beliau memberi khidmat kepada penduduk di kawasan Batu sejak lapan tahun lalu dan membantu masyarakat di situ menikmati kualiti hidup yang lebih baik menerusi pelbagai inisiatif pembangunan.
"Tidak kira sama ada Tian Chua datang atau tidak, saya masih akan terus melakukan kerja untuk berkhidmat kepada penduduk Batu," katanya.
Susulan penolakan pencalonan Tian Chua, kerusi Parlimen Batu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dominic, dua calon Bebas dan wakil PAS, Azhar Yahya.
Pada PRU12, Tian Chua menang dengan majoriti 9,455 undi dan pada PRU13, beliau menambah majoriti kepada 13,284 undi.
-- BERNAMA
#Batu #Bebas #calon #Dominic Lau #Dominic Lau Hoe Chai #khidmat #Masyarakat #P Prabakaran #Parlimen #pencalonan ditolak #pertandingan empat penjuru #pilihan raya umum #PKR #PRU14 #Tian Chua #undi #V M Panjamorthy
;