Dominasi politik Melayu terencat bila Ahmad Zahid putus hubungan dengan Bersatu - Penganalisis
Astro Awani
Mac 4, 2021 17:24 MYT
Mac 4, 2021 17:24 MYT
KUALA LUMPUR: Dominasi politik Melayu akan terencat akibat tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Presiden UMNO itu harus sedar keputusan beliau memperjudikan kekuatan dominasi politik Melayu Islam di negara ini.
"Ahli akar umbi UMNO perlu menganalisa keputusan kepimpinan elit UMNO dan melihat kepada kepentingan penyatuan politik Melayu terutamanya dalam era pandemik COVID-19.
"Dominasi politik Melayu Islam adalah masih relevan dalam formula perpaduan dan pembangunan negara kerana terbukti Pakatan Harapan (PH) gagal untuk memenuhi kepentingan masyarakat Melayu dari segi dasar dan polisi sepanjang pentadbiran mereka yang lepas," katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Terdahulu, UMNO dilaporkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga mengesahkan Ahmad Zahid menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, Biro Politik Bersatu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai perkara itu malam tadi yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.
Dalam pada itu kata Dr Noor Nirwandy, perpaduan dan kesepakatan Melayu akan pecah sekiranya jajaran kerjasama politik UMNO yang baharu tidak berupaya menyokong atau mempertahankan dasar-dasar yang berkepentingan kepada majoriti rakyat Melayu Islam di negara ini.
"Akar umbi perlu bersuara dan meletakkan kepentingan parti lebih dari kepentingan pimpinan utama demi kepentingan perpaduan dan pengekalan dominasi parti politik Melayu Islam.
"Dari pengamatan jelas punca permasalahan ketidakpercayaan kepada UMNO oleh masyarakat sedang menebal disebabkan faktor utama iaitu kepentingan peribadi Presiden UMNO.
"UMNO masih relevan dan perlu terus kekal dihormati oleh rakyat negara ini khususnya masyarakat Melayu dan keputusan Ahmad Zahid berupaya memecahbelahkan UMNO dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO serta wajar dipersalahkan sekiranya dominasi politik Melayu Islam gagal dicapai disebabkan keputusan pramatang beliau," tegasnya.
Terdahulu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, keputusan UMNO untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 dijangka menyaksikan penjajaran baharu dalam landskap politik negara.
Menurutnya perkara itu akan turut mempengaruhi kualiti pemain-pemain politik menjelang PRU15.