Dominasi dan eksploitasi Zionis terhadap dunia

Hisyam Basabah
Mei 20, 2021 12:39 MYT
Panggung sejarah dunia mempertontonkan aksi dan reaksi yang berulang kali tentang penindasan dan kekejaman sesebuah pihak ke atas pihak lain. -Reuters
“DALAM gelisah ku menunggu
Berita tentang gerilyamu
Semerbak rindu kuasai udara panas ini
Sepucuk surat telah tiba
Dan senja pun ikut berdebar
Kalimat indah dan kisahmu
Tentang perang dan cinta
Andai 'ku malaikat, kupotong sayapku
Dan rasakan perih di dunia bersamamu
Perang 'kan berakhir, cinta 'kan abadi
Di tanah anarki romansa terjadi
Kubasuh luka dengan air mata
Oh, hatimu beku serta jiwamu yang lelah
Tak henti lawan dunia
Dengan mimpi besar untuk cinta
Dan jalan untuk pulang
Di ujung waktu 'kan ada cahaya
Itulah aku, raihlah mimpimu……….”
Kekejaman akan senantiasa berlangsung jika tiada tangan-tangan luhur yang mahu dan mampu menegakkan keadilan dan pembelaan.
Panggung sejarah dunia mempertontonkan aksi dan reaksi yang berulang kali tentang penindasan dan kekejaman sesebuah pihak ke atas pihak lain.
Seperti mana yang dikatakan oleh Vladimir Lenin, betapa kolonialisme adalah puncak tertinggi bagi kapitalisme.
Pihak yang menguasai modal seterusnya ekonomi mempunyai kuasa dan kemampuan menekan pihak lain yang tidak mempunyai modal dan kuasa ekonomi.
Melalui potongan lirik lagu yang bertajuk "Sunset Di Tanah Anarki" dari kumpulan Superman Is Dead seperti mana yang tertulis di atas mencerminkan perjuangan mereka yang tertindas berhadapan dengan mereka yang lebih berkuasa.
Keperitan dalam memperjuangkan hak kemanusiaan menjadi perihal utama penggubalan lirik lagu ini yang mana ia boleh diacukan kepada situasi antarabangsa yang bersifat zero-sum game dan sistem dunia yang bersifat anarki.
Dunia ini adalah suatu tempat yang indah untuk didiami namun telah dicemari oleh sifat rakus dan kejamnya manusia sehingga keindahan dan keharmonian dunia dicemari dengan darah dan air mata.
Mereka yang berkuasa terus berkuasa, yang lemah akan hidup melarat akibat daripada sikap haloba sebahagian manusia lain untuk kekal berkuasa dan menguasai modal.
Namun, bukan semua pihak yang menguasai modal bersikap sedemikian kerana sejarah juga telah mempertontonkan betapa daulah Islamiyah sebenarnya telah memberi contoh dan tauladan terbaik tentang bagaimana pihak yang menguasai modal menyantuni mereka yang lemah sekalipun di dalam peperangan.
Nama-nama seperti Saidina Umar Al Khattab, Saidina Ali Abi Talib, Khalid Al Walid, Umar Abdul Aziz, Harun Ar Rasyid, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh antara di dalam ribuan pahlawan dan pemerintah Islam yang sangat menyantuni mereka yang lemah sekalipun berlainan agama dan ideologi.
Namun kini, akibat kurangnya sifat insani yang berlandaskan syariat menjadikan manusia mengesahkan status mereka yang haloba sebagaimana contoh yang tertulis di dalam Epik Gilgamesh, Iliad, Odyssey, Peloponnesian War dan mungkin di dalam The Prince.
Penindasan dan kekejaman ini berlaku akibat sesebuah pihak yang berasa superior ke atas pihak lain yang mana perasaan itu diperkuatkan dengan kemampuan ekonomi.
Penindasan dan penjarahan yang berlaku adalah bukti betapa mereka yang menguasai ekonomi mampu membangunkan teknologi dan ketenteraan selain imej politik sebagai cara menekan pihak yang lebih lemah,
Melalui cara ini, mereka dapat menguasai sumber dan juga menjalankan apa sahaja hasrat mereka untuk melebarkan pengaruh dan kuasa.
Penjajahan moden berlaku dengan kebergantungan ekonomi sesebuah negara dengan negara yang lebih kukuh tahap ekonomi mereka.
Apabila sesebuah negara itu mempunyai kepentingan dalam kebergantungan ekonomi, keselamatan dan politik dengan sesebuah negara lain, maka mereka tidak lagi mempunyai kuasa tawar menawar apatah lagi untuk membantah sebarang penindasan yang dilakukan oleh negara yang menjadi tempat mereka bergantung.
Sekalipun tindakan-tindakan yang dilakukan oleh negara tersebut atau negara proksi itu tidak dipersetujui oleh mereka, namun demi kelangsungan nasional di dalam sistem antarabangsa, mereka tiada jalan lain selain hanya membisu dan membutakan mata.
Maka, dengan mudah kita dapat memahami mengapa negara-negara Arab tidak berupaya mengekang penindasan dan pencerobohan yang dilakukan oleh negara haram Israel ke atas tanah Palestin.
Apabila tiada kesatuan yang kukuh dan tidak mempunyai kekuatan ekonomi, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh mereka selain daripada hanya mampu mengecam dan melihat sahaja.
Apa sahaja pertubuhan atau organisasi global mahupun serantau seperti Liga Arab mahupun OIC, ia hanya sebuah pertubuhan yang tidak mempunyai kesan signifikan dalam isu kemanusiaan kerana lemahnya penguasaan ekonomi yang menjadi tunjang utama.
Kepimpinan sesebuah negara di atas pentas antarabangsa perlu berdiri di atas kekuatan ekonomi, hanya dengan itu sesebuah negara itu mampu mempengaruhi negara lain untuk ikut dan patuh kepada mereka kerana adanya kuasa penawaran.
Konflik Palestin dan negara haram Israel kembali memuncak baru-baru ini dengan bermulanya tindakan serangan yang dilakukan oleh tentera Zionis kepada masyarakat Palestin yang mahu menunaikan solat di Masjid Al Aqsa sekitar akhir Ramadan yang lalu.
Konflik antara Palestin-Israel ini adalah sebuah isu yang telah berlangsung sekian lama.
Konflik antara kedua dua buah rumpun bangsa yang sama ini seperti tiada kesudahan.
Pertentangan antara kedua-dua pihak ini mulai pecah pada tahun 1946 apabila campur tangan British telah menempatkan sekalian pelarian Yahudi di wilayah Palestin yakni salah sebuah wilayah koloni mereka.
British adalah salah sebuah kuasa kolonial yang amat berpengaruh dalam pentas politik antarabangsa pada kurun ke-19 dan awal abad ke-20 yang mana mereka telah bertanggungjawab menjajah dan menjarah banyak wilayah di setiap belahan dunia.
Melalui kekuatan ekonomi yang diperolehi mereka daripada tanah-tanah jajahan dan hasil kerjasama dengan pihak Zionis, British mampu menguasai politik dan strategik selain bertindak sesuka hati mereka dengan menempatkan pelarian Yahudi di wilayah Palestin.
Tidak perlu lagi dikupas tentang Perjanjian Balfour yang merealitikan negara haram Israel pada tahun 1946 kerana ia telah menjadi sejarah pahit kepada kegagalan negara-negara Islam dalam mempertahankan sebuah wilayah suci umat Islam.
Peperangan demi peperangan antara dunia Arab dengan pihak Zionis telah berlangsung, dan setiap kali itu juga ia akan berakhir dengan kekalahan di pihak negara-negara Arab.
Hanya berbekalkan beberapa juta jiwa, negara haram Israel mampu meluluh lantakkan dunia Arab yang memiliki lebih 300 juta jiwa dengan kekalahan.
Kekuatan pihak Zionis telah dinyatakan sendiri oleh John Mearsheimer dan Stephen Waltz di dalam buku mereka yang bertajuk The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy.
Mearsheimer dan Waltz melihat penguasaan ekonomi dan pengaruh mereka di Amerika Syarikat telah menjadikan golongan Yahudi Zionis sebagai pihak yang berperanan penting di dalam penggubalan dasar luar Amerika Syarikat semenjak dulu hingga kini.
Siapa sahaja yang menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat perlu tunduk dengan kepentingan negara haram Israel.
Oleh kerana itu, bukan suatu perkara yang pelik apabila Amerika Syarikat sentiasa membela dan memelihara kepentingan negara haram Israel.
Ekonomi dan perdagangan antarabangsa juga dikuasai oleh mereka melalui pertubuhan-pertubuhan ekonomi antarabangsa seperti WTO, IMF, World Bank dan sebagainya.
Maka, ekonomi pasaran bebas ini secara realitinya tidak cukup bebas kerana perlu berjalan sebagai mana yang dikehendaki oleh mereka.
Untuk memperjuangkan isu penindasan rakyat Palestin ini, dunia Islam perlu mempertingkatkan ekonomi kendiri terlebih dahulu.
Secara meritnya, dengan dianggotai sebanyak 57 buah negara yang mewakili sebanyak 1.8 bilion jiwa, OIC mampu menjadi blok ekonomi terkuat dunia sekiranya negara-negara ini tidak mementingkan diri dan selesa dengan selimut kebangsaan masing-masing.
Namun, kebanyakan negara-negara anggota OIC lebih selesa berada di bawah ketiak kuasa Barat dan saling bertingkah tentang perkara titik bengik.
OIC mampu menjadi pengimbang kepada ekonomi Barat seterusnya meruntuhkan penguasaan mereka jika negara-negara anggota OIC mempunyai semangat daulah Islamiyah.
Apabila penyatuan politik dan ekonomi ini dapat diwujudkan secara total dan tanpa retorik, pasti keutuhan ekonomi Zionis dapat diranapkan secara fatal.
Kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis ini kerana mereka yakin dan percaya tidak akan ada kekuatan yang setanding dengan mereka terutamanya di dalam bidang ekonomi.
Kerana melalui kekuatan ekonomi mampu mewujudkan rentetan penguasaan di dalam bidang lain seperti politik, teknologi dan ketenteraan.
Di sebalik senja di tanah anarki yang semakin tiba di penghujung, penghuninya masih lagi terkial-kial mencukupkan bekalan dengan pelbagai fatamorgana di siang hari.
Jangan kegelapan malam menelan kita dengan hukuman kejam akibat bebalisme kita yang gagal membangunkan bekalan ketika ruang dan peluang masih ada.
Ayuh siapkan kebangkitan kita dalam pelbagai cabang duhai ummah!

* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Hisyam Basabah #Palestin #Israel #Kolumnis AWANI #Vladimir Lenin #kolonialisme #rejim Zionis #IMF #pelarian #Sunset Di Tanah Anarki #Superman Is Dead #penindasan #penjarahan #Liga Arab #oic #masjid al aqsa #WTO
;