Doakan barisan Kabinet baharu mampu selesaikan masalah negara - Khaled
Hakim Rahman
Julai 29, 2015 08:28 MYT
Julai 29, 2015 08:28 MYT
UMNO Johor tidak mempunyai sebarang halangan jika mana-mana bahagian di negeri itu telah dan ingin menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Muhyiddin masih Timbalan Presiden UMNO dan diharap semua pihak terus menghormatinya," katanya dalam kenyataan lewat petang Selasa.
Beliau turut mendoakan barisan Kabinet yang baharu dibentuk ini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, sebagaimana keyakinan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya dalam tempoh munasabah.
Kata Khaled, sewaktu Perdana Menteri datang ke Johor pada 15 Mei 2015 yang lepas, Perhubungan UMNO Johor telah membuat keputusan bahawa Perdana Menteri perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Oleh itu, jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk rombakan dilakukan terhadap barisan kabinet dan termasuk terpaksa menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita menerima ketetapan itu.
"Lebih-lebih lagi kerana kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri," tambahnya.
Beliau dalam masa sama meminta ahli-ahli UMNO khususnya daripada Johor dapat bersabar dan melalui saaat-saat ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan.
"Semoga Allah SWT memberi kita semua kekuatan untuk akhirnya menemui kebenaran," katanya lagi.