DNA UMNO tetap perjuangkan Melayu, Islam, tidak akan kendur - Tok Mat
Ridauddin Daud
Jun 7, 2023 22:40 MYT
Jun 7, 2023 22:40 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan DNA parti itu adalah nasionalisme Melayu dan Islam, jati diri yang sama sekali tidak akan kendur.
Tegasnya, sebagai parti nasionalis, mempertahankan Melayu dan Islam itu adalah perjuangan UMNO.
“Kerana itulah juga, kita dipanggil ‘assabiyah’ selama berpuluh-puluh tahun, oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik.
“Sekarang, hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula.
“Hanya kerana duduk dalam kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti-parti lain, tidak bermakna kita membuang agama dan membuang Melayu. Jawapannya, sama sekali tidak,” katanya.
Tergas beliau, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu, dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana, dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia.
“Jadi, matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur pada Rabu malam.
Tambah beliau, UMNO tidak akan mundur, sebaliknya akan terus maju kerana UMNO pro pembangunan, mencintai perpaduan dan memilih kestabilan serta kemakmuran.
“UMNO pro kemajuan. Pro pembaharuan dan pro demokrasi dan kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia.
“Jadi, tidak timbul soal kita perlu undi parti itu atau parti ini. Kita hanya mengundi dan memilih parti yang memerintah.
“Parti yang boleh mengurus negara dengan semangat perpaduan dan meneruskan kestabilan politik,” ujarnya.