Diskriminasi jantina halang wanita diangkat jadi pemimpin - Aiman Athirah

Bernama
Disember 22, 2023 13:47 MYT
Aiman Athirah menyampaikan ucapan pada Konvensyen AWAN Nasional 2023 di Klang, hari ini. --fotoBERNAMA
KLANG: Diskriminasi jantina atau gender bias dalam kalangan generasi kedua dipercayai menjadi halangan bagi wanita untuk membawa peranan sebagai peneraju perubahan atau diangkat sebagai pemimpin di negara ini.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata diskriminasi jantina dalam kalangan generasi kedua itu adalah lebih halus dan selalunya tidak disengajakan, berbanding diskriminasi oleh generasi pertama yang lebih jelas dan disengajakan.
"Masih lagi terdapat pemikiran 'wanita kurang layak untuk diangkat sebagai pemimpin'. Maka kita perlu faham akan gender bias ini supaya kita tidak menganggap itu normal," katanya ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen Awan Nasional 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata 15 siri pilihan raya umum (PRU) telah berlalu dan kini Parlimen Malaysia mempunyai 39 ahli wanita iaitu sembilan Senator dan 30 ahli Dewan Rakyat dan angka itu bukan sahaja gagal mencapai sasaran minimum 30 peratus, malah turut menyusut berbanding PRU14.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata kepimpinan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan latihan berterusan serta berkesinambungan, dan wanita tidak seharusnya menggugat hanya dengan menambah angka kepimpinan, tetapi perlu dengan kualiti.
"Dengan mutu dan ilmu, kita ingin memberikan khidmat terbaik. Kita bukan lagi mengincar sentimen untuk mengumpan undi, tetapi menabur data dan ilmu untuk memandu.
"Dengan mutu kita memaksudkan kualiti. Dengan kawan-kawan wanita kita daripada parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan kita kini bersekutu, dan bersekutu pasti menambah mutu," katanya.
Konvensyen tahunan Awan hari ini akan memilih 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Sayap Awan Nasional baharu (2023-2026) yang akan dipilih oleh 650 perwakilan mewakili sayap kawasan, negeri dan nasional.
Selain itu, perwakilan juga akan memilih calon untuk jawatan Speaker, Timbalan Speaker dan dua juruaudit.
-- BERNAMA
#Aiman Athirah Sabu #diskriminasi jantina #pemimpin #Konvensyen Awan Nasional 2023
;