Disiplin calon, parti bertanding kurang memuaskan - SPR

Sahlizah Mohamed
April 13, 2019 15:22 MYT
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun kecewa dengan sikap degil dan disiplin parti-parti politik pada hari mengundi PRK Rantau.
Disiplin calon dan parti-parti politik kurang memuaskan sepanjang proses mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.
Menurut Azhar, walaupun sudah berkali-kali mengingatkan parti politik bahawa pondok panas atau barung tidak dibenarkan dalam jarak 50 meter dari Pusat Daerah Mengundi (PDM), mereka masih berdegil dan meneruskan aktiviti yang menyalahi undang-undang pilihan raya itu.
"Saya melawat tiga pusat mengundi dan penjalanannya lancar. Cuma dari segi disiplin calon-calon dan parti-parti politik itu bagi saya agak kurang memuaskan kerana barung-barung panas masih dibina.
“Walaupun saya sendiri suruh mereka berhenti, tetapi mereka hanya berhenti selama 15 minit dan kemudian mula balik.
“Saya perlu beri amaran dua kali barulah mereka berhenti tetapi kemudian mula balik sedangkan semakan pengundi ini sebenarnya tak perlu lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Nyatoh di sini hari ini.
Tegas Azhar, kehadiran barung panas tidak diperlukan lagi memandangkan SPR telahpun menghantar kad pengundi kepada setiap pengundi di DUN Rantau.
“Kita dah hantar kad pengundi dan boleh disemak di laman web SPR atau melalui aplikasi pun dah boleh buat.
“Kita juga ada barung sendiri di setiap pusat mengundi di mana pengundi boleh memeriksa maklumat-maklumat pengundian seperti alamat dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Azhar menyatakan rasa puas hati dengan perjalanan pilihan raya yang aman tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Tidak ada pergaduhan yang berlaku atau ganggu ketenteraman awam cuma suasana agak panas dan kita tak mahu kekecohan berlaku.
“Kalau kita suruh mereka berhenti tapi mereka masih berkeras, kita ambil pendekatan lembut. Kita rakam peristiwa untuk kita buat laporan polis di kemudian hari.
“Kita tak mahu paksa mereka pada waktu itu juga kerana tidak mahu pergaduhan terjadi kerana jika ia terjadi, maka pengundi tidak akan keluar mengundi kerana mereka rasa kurang selamat,” jelasnya.
Ditanya mengenai dakwaan calon Pakatan Harapan Dr S Streram berkempen pada hari mengundi, Azhar menyeru kepada mereka yang mempunyai bukti supaya mengemukakannya dan membuat laporan polis.
"(Jika) kamu nampak dan ada video, pergilah buat laporan. Tolong pergi buat laporan. Saya tak tahu kalau betul dia (Streram) berkempen, tetapi ia memang satu kesalahan.
"Kerana hari mengundi daripada 12 tengah malam tadui hingga hari mengundi pada 5.30 petang ini sesiapa pun tak boleh berkempen lagi.
"Tak boleh minta orang mengundi beliau dan sebagainya. Kalau ada bukti video semua, saya pohon tolong buat laporan," tambahnya.
Menurut laporan, Streram didakwa memberitahu pihak media bahawa beliau berharap pengundi Rantau akan mengundi PH.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Dr S Streram, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas, R Malarvizhi serta Mohd Nor Yassin.
Ini merupakan PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).
#50 meter #Azhar Azizan Harun #barung panas #pilihan raya kecil #prk rantau #Rantau Memilih #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;