'Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya...' - Agong kongsi pengalaman pilih empat PM
Umavathi Ramayah
Februari 13, 2023 13:22 MYT
Februari 13, 2023 13:22 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 sebagai yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang.
Baginda menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong, sebagai sesuatu yang bersejarah dan sukar untuk dilupakan.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan.
"Beta bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-7. Namun pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya Beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air, menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.
"Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, Beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.
"Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 juga telah meletakkan jawatan pada 16 ogos 2021.
"Makanya, beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baharu.
"Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Sidang Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya memaklumkan tidak berapa lama kemudian, Ismail Sabri pula memohon perkenan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober tahun lalu.
Namun katanya, setelah selesai PRU15, buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.
"Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang perdana menteri terpaksa digalas oleh beta. Betapa berat mata yang memandang, tetapi berat lagi bahu yang memikul," titah baginda.
"Pada 24 November lalu, beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10, beta berharap, Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke Pahang," titah baginda lagi.