Dira anggap pelantikan sebagai Timbalan Speaker DUN penghormatan buat wanita
Shuhada Abdul Kadir
Disember 27, 2021 17:24 MYT
Disember 27, 2021 17:24 MYT
AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menganggap perlantikannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebagai penghormatan kepada wanita terutama golongan muda.
Khaidhirah atau lebih mesra disapa Dira berkata, peluang yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan beliau berjanji akan menjalankan tugas dengan penuh amanah.
"Saya menganggap ini satu penghormatan untuk mengangkat pemimpin-pemimpin wanita muda di Melaka ini dan ini adalah peluang diberikan untuk saya jalankan tanggungjawab sebaiknya,
"Saya juga akan menggalas tanggungjawab ini dengan baik, saya mahu memberi satu aspirasi pemimpin wanita muda di luar sana bahawa apa juga kemungkinan boleh berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Isnin.
Sidang DUN hari ini sebulat suara memilih Dira sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka.
Perlantikan itu sekali gus menyaksikan Dira menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan itu.
Dira mula menjadi wakil rakyat selepas kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu dan memenangi kerusi DUN Rim.
Mula bergiat aktif dalam dunia politik sejak 2015, beliau juga merupakan pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya.