Dipilih jadi MB hanya khabar angin - Azmin
Irwan Muhammad Zain
September 22, 2014 12:34 MYT
September 22, 2014 12:34 MYT
Dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu hanyalah khabar angin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.
"Belum diputuskan lagi. Khabar angin," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas SMS kepada Astro AWANI.
Azmin disebut-sebut akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan majlis mengangkat sumpah akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang esok.
Selain Azmin, dua Adun PAS, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi turut dikatakan tersenarai sebagai calon untuk menggantikan Abdul Khalid.
Bagaimanapun Iskandar menafikan beliau dipilih menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
"Saya difahamkan bukan saya.
"Yang saya tahu nama orang lain sudah naik. Sudah jadi 'open secret'," katanya ketika dihubungi Astro AWANI semalam.
Pihak Istana Selangor pula dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemilihan Menteri Besar Selangor yang baharu hari ini.
Sejak tersebar berita Azmin dipilih untuk menggantikan Abdul Khalid, PKR, saban hari mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu masih meletakkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan itu.