Dipecat pada saat akhir, bekas ahli UMNO buat laporan polis
Astro Awani
Jun 29, 2018 07:05 MYT
Jun 29, 2018 07:05 MYT
Tidak berpuas hati dengan tindakan pemecatan oleh parti, dua bekas ahli UMNO Bahagian Bagan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara malam tadi.
Bekas naib ketua pemuda bahagian Mohamad Afendi Azni dan bekas ahli jawatankuasa bahagian, Shahbani Mat Diasa, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara malam tadi.
Selain mendakwa menerima surat pemecatan pada jam 5.30 petang Jumaat, menyebabkan kedua-duanya hilang kelayakan bertanding pada pemilihan hari ini, mereka turut menimbulkan persoalan mengapa surat itu tidak dikeluarkan Lembaga Displin UMNO sebaliknya datang dari UMNO negeri dan bahagian Bagan sendiri.
Mohamad Afendi yang akan bertanding Ketua Bahagian dan Shahbani, bakal bertanding Naib Ketua Bahagian, meminta satu siasatan dijalankan kerana mendakwa pemecatan berkenaan tidak mengikut perlembagaan parti.
"UMNO negeri dan UMNO Bagan tak boleh keluarkan surat pemecatan. Surat pemecatan hanya boleh dikeluarkan oleh pejabat Lembaga Disiplin UMNO Pusat, bukan UMNO Bagan atau negeri.
"Ini buat saya rasa curiga. Esok dia akan kata, tak boleh bertanding, jangan bertanding.
"Dalam surat ini pula, diberikan dua nama sekali pecat. Kenapa nama Shahbadi dan saya kena pecat duduk dalam satu borang?" kata Mohamad Afendi sambil menegaskan perkembangan ini tidak sihat untuk kepentingan UMNO.
Tambahnya, tindakan sedemikian dilihat sebagai percubaan untuk menghalang mereka berdua daripada bertanding sedangkan ibu pejabat mengesahkan nama mereka bersih untuk bertanding.
Ujarnya, mereka tetap akan hadir ke pemilihan hari ini untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Sekiranya mereka tidak dibenarkan, katanya, mereka mahu pemilihan itu ditangguhkan demi masa depan parti yang kini dalam proses pemulihan.