Dipecat dari UMNO, Annuar buat keputusan tidak merayu
Ridauddin Daud
Disember 15, 2022 13:21 MYT
Disember 15, 2022 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, beliau tidak akan merayu keputusan UMNO yang memecat keahliannya baru-baru ini.
Menurut Annuar, sehingga kini beliau masih tidak tahu sebab-sebab pemecatan itu dilakukan kerana tiada pertuduhan terhadapnya.
Atas dasar itu, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan, beliau tidak akan mengemukakan rayuan.
“Saya buat keputusan tidak merayu. Pertama, nak merayu ini, kita kena tahu salah kita… jadi kita nilai betul kita salah atau tidak. Kalau tak salah, kita merayulah atas dasar diri kita tak bersalah.
“Sehingga hari ini, saya tidak tahu, saya tiada pertuduhan. Tak dipanggil, tak pernah ditanya, tak diminta penjelasan lisan atau bertulis, panggil secara sahabat pun tiada sedangkan dalam itu kawan-kawan saya tapi mereka tidak bertanya apa-apa.
“Tahu-tahu surat sekeping, pecat. Jadi saya nak rayu macam mana. Jadi saya buat kesimpulan, mereka tidak memerlukan saya dan saya fikir parti UMNO itu besar, tiada saya seorang, UMNO masih ada,” kata Annuar.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berkaitan pemecatan keahliannya, di sini, pada Khamis.
Dalam masa sama, Annuar berkata, beliuau tidak langsung berdendam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meskipun sudah dipecat daripada parti itu.
"Prinsip politik saya, bukan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim saja, saya tidak gaduh dengan siapa-siapa.
"Sehingga ke hari ini pun, macam dengan Datuk Seri Zahid, sampai sekarang saya berani menegaskan dia kekal kawan saya, saya masih menghormati, saya pun tidak marah, saya tiada dendam.
"Mungkin itu cara dia tadbir UMNO, okey lah sebab dia Presiden… namun nak gaduh peribadi itu tidak, buat apa nak gaduh peribadi? Apatah lagi saya kini Presiden MN (Muafakat Nasional) yang nak promosikan 'love and respect' jadi saya akan promosikan 'love and respect'," ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Annuar dan dua Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran dan Arau dilucutkan keahlian.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melucutkan keahlian terhadap Annuar dan Datin Seri Fatimah Kassim (bekas Ketua Wanita UMNO Maran), dan Datin Seri Shamsiah Yassin (bekas Ketua Wanita UMNO Arau) mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas mereka melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta perkara berkaitan tataetika ahli.