Dikecam 'Geng 12': "Saya tak kecil hati" - Bung Moktar

Ruzaini Zulkepli
Ogos 22, 2020 15:54 MYT
Tidak kecil hati, itu kata Bung Moktar sebagai reaksi kepada kecaman yang diterimanya baru-baru ini. - Foto Astro AWANI
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpendapat beliau tidak berkecil hati dengan tindakan 'Geng 12' yang mengecamnya baru-baru ini.
Jelas beliau, sebarang pendapat atau kritikan harus dihormati dan ditangani secara bijak bagi tidak mengganggu fokus dalam persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Saya sudah cakap kita menghormati kepelbagaian pendapat, saya no hard feelings, tidak apalah.
"Kita harus bijak menangani isu-isu itu kerana kita berhadapan perperangan, dalam peperangan kita tidak boleh silap," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Sabah, di Bangunan UMNO Sabah Kota Kinabalu, pada Sabtu.
BACA: Sabah Memilih: Biar Bung Moktar ketuai jentera adalah langkah 'bunuh diri' - Rahman Dahlan
Baru-baru ini, konflik membelenggu dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah apabila Ketua Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengetuai beberapa yang lain mengkritik kepimpinan Bung Moktar tidak sesuai mengetuai jentera PRN Sabah.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bung Moktar berkata, ia secara tidak langsung memberi kesan namun pihaknya masih mempunyai waktu bagi memulihkan keadaan sebelum menjelangnya pilihan raya.
"Memang tidak dapat dinafikan, tapi Insya-Allah kita masih ada waktu dan kita telah repair, setelah kita perbaiki di semua bahagian, kita telah buat kaji selidik, kita telah buat tinjauan tidak akan bawa gangguan yang besar kepada program kempen UMNO dan BN," katanya.
Dalam pada itu, di sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai Pengarah Operasi Jentera PRN Sabah bagi BN Sabah.
Berhubung penggunaan logo atau bendera yang akan digunakan pada pilihan raya nanti, Bung Moktar berkata pihaknya akan menggunakan logo BN.
"UMNO dan BN akan menggunakan logo BN," katanya.
#Abdul Rahman Dahlan #Barisan Nasional #Bung Moktar Radin #PRN Sabah #Sabah Memilih #UMNO #UMNO Sabah
;