Dijangka lebih ramai pemimpin pembangkang sertai Bersatu, PN - Faizal Azumu
Amirrul Rabbani
Mac 13, 2021 11:58 MYT
Mac 13, 2021 11:58 MYT
IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan lebih ramai pemimpin dari parti pembangkang bakal menyertai parti itu mahupun Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membayangkan bahawa ianya akan lebih ketara menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Ada beberapa lagi yang ingin menyertai Bersatu terutamanya dari parti pembangkang. Namun ketika ini kami hanya berikan kenyataan berhubung Adun Tronoh dan Adun Buntong sahaja.
"Saya rasakan bila semakin hampir pilihan raya nanti kita akan lihat lebih ramai pemimpin dari parti lain terutamanya pembangkang akan lahirkan hasrat untuk menyertai Bersatu atau parti dalam Perikatan Nasional," katanya.
Beliau terdahulu ditemui pemberita pada Program Penyerahan Dana RM100,000 kepada Akademi Bola Sepak DRZ dekat Tambun, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak dari DAP iaitu Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam dilaporkan menganggotai Bersatu.
Sivasubramaniam menyertai Gerakan pada Jun 2020 manakala Paul Yong pula memilih menjadi Adun bebas selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak pada Mac tahun lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menjelaskan UMNO, Pas dan Bersatu masih belum mengadakan perbincangan berhubung pembahagian kerusi PRU15.
Walau bagaimanapun tegas beliau, hubungan antara ketiga-tiga parti tersebut masih kuat dan tidak wujud dakwaan mana-mana parti yang membuli atau dibuli sesama sendiri.
#PPBM
#UMNO
#PAS
#Barisan Nasional
#DAP
#Pakatan Harapan
#GERAKAN
#ADUN
#Bersatu
#Timbalan Presiden Bersatu
#Ahmad Faizal Azumu
#ADUN Tronoh
#ADUN Buntong
#Politik Malaysia
#Dr Xavier Jayakumar