Didakwa tinggalkan Bersatu dan sertai Warisan, Wetrom Bahanda buat sidang media minggu depan

Assim Hassan
Oktober 15, 2022 19:29 MYT
Ketika dihubungi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau itu hanya meminta semua pihak bersabar.
KUALA LUMPUR : Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Wetrom Bahanda tidak mengiya atau menidakkan khabar angin yang mendakwa beliau keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus menyertai Parti Warisan (Warisan).
Ketika dihubungi Astro AWANI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau itu hanya meminta semua pihak bersabar.
“Sabar… Saya akan buat sidang media dalam hari Selasa atau Rabu minggu depan," katanya ringkas kepada Astro AWANI.
Terdahulu, Ketua Penyelaras Pasukan Khas KDM Warisan DUN Matunggong, Jominit Kobuhi mendakwa Wetrom mengumumkan perkara itu dalam satu majlis bersama penyokongnya di Matunggong pagi Sabtu.
Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditanya media pada Program Jelajah Warisan di Papar akan mengumumkan perkara itu bila tiba masanya.
"Tunggu dulu... bila tiba masanya saya akan umumkan," katanya Shafie.
Esok (16 Oktober 2022), Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengadakan Jelajah GRS Parlimen Kota Marudu dan Majlis Penyerahan Geran Tanah masing-masing di Dewan Komuniti Kota Marudu serta Dewan Terbuka Matunggong.
Wetrom pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 menang dengan majoriti 3,363 dalam pertembungan enam penjuru menewaskan calon Warisan, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah, Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demoktratik dan calon Bebas.
#PRU15 #Wetrom Bahanda #Bersatu #Warisan #GRS #politik
;