Didakwa pakai pakaian jenama mahal, Fahmi tunjuk koleksi 2 helai pakaian
Irwan Muhammad Zain
Jun 26, 2022 22:14 MYT
Jun 26, 2022 22:14 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tampil menjawab dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa pakaiannya mahal dan berjenama.
Menerusi hantaran di akaun Instagramnya, Fahmi menunjukkan beberapa utas jam tangan jenama Casio dan sehelai kemeja serta seluar jenama Uniqlo.
Sebelum ini, Mohamed Nazri menasihatkan Fahmi agar melihat kembali dalam almari pakaiannya yang didakwa turut memiliki jenama mahal.
Ia susulan kritikan Fahmi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memakai kemeja lengan pendek berjenama yang dianggarkan bernilai RM6,900.
Mohamed Nazri menjelaskan kemeja lengan pendek berjenama itu mungkin dihadiahkan oleh pihak lain kepada Perdana Menteri.
"Perdana Menteri pakai baju mahal atau berjenama ini bukan pelik kerana berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi menteri sebelum ini, ramai yang menghadiahkan perdana menteri pakaian dan barangan lain yang berjenama dan mahal.
"Fahmi boleh tanya boss dia, Anwar Ibrahim masa jadi timbalan perdana menteri, itu baru timbalan perdana menteri belum perdana menteri, ramai yang hadiahkan barangan mahal dan berjenama termasuk baju.
"Jadi bila orang dah bagi hadiah, kita kena pakailah tanda kita hargai pemberian orang, bukan simpan dalam almari," katanya.