Dibuang dalam tempoh sehari, KJ dakwa pemecatan tidak ikut proses biasa
Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 19:37 MYT
Januari 28, 2023 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa ahlinya pada Jumaat terus dipersoalkan selepas Khairy Jamaluddin pula mendakwa proses pemecatannya tidak mengikut prosedur biasa.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu dalam kenyataan di Insta Story juga mengesahkan tiada sebarang surat tunjuk sebab diberikan dan pendengaran daripada Lembaga Disiplin UMNO.
"Mengesahkan tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.
"Secara ringkasnya dan dibuang dalam tempoh satu hari daripada parti yang saya setia selama 23 tahun," katanya dalam kenyataan tersebut pada Sabtu.
Khairy, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian sebagai respons kepada laporan The Star bertajuk UMNO purge: What happened at the supreme council meeting before the axe fell.
Menurut laporan tersebut yang memetik sumber, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa meneruskan cadangan untuk memecat beberapa pemimpin walaupun ia tidak dipersetujui oleh lima Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Sumber tersebut mendakwa, hanya tiga ahli MKT yang bersetuju dengan Ahmad Zahid.
"Ahmad Zahid – dalam ucapan pembukaannya membuat pengumuman pemecatan Khairy dan senarai mereka yang digantung daripada parti.
"Bekas Ketua Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar segera bangun dan meminta beliau dipecat daripada digantung selama enam tahun. Zahid kemudian membalas: 'Jika anda mahu itu, okay'," lapor portal bahasa Inggeris itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian didakwa berdiri dan berhujah bahawa pemecatan dan penggantungan mesti dibuat mengikut undang-undang dan proses yang sewajarnya.
"Ahli Parlimen Bera itu berkata, mereka yang berada dalam senarai itu perlu diberi surat tunjuk sebab dahulu, hak membela diri di hadapan Lembaga Disiplin, kemudian rayuan kepada pengurusan sebelum Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan.
"Ismail berkata menggantung dan memecat pemimpin dan ahli UMNO tanpa surat tunjuk sebab adalah tidak adil kerana mereka tidak akan dapat membela diri dan tidak tahu sebab mereka dipecat," tambah sumber itu lagi.
Selain Khairy, UMNO turut memecat Noh.
Beberapa pemimpin lain pula digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Terdahulu, Ahli MKT UMNO, Datuk Puad Zarkashi mendedahkan sebab UMNO memecat Khairy daripada parti itu kerana didakwa memburukkan parti dan Ahmad Zahid.
Beliau mendakwa perbuatan yang dilakukan Khairy ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) disifatkan sebagai melampau dan amat keterlaluan.
Sementara, penggantungan Hishammuddin pula antaranya kerana didakwa tidak serik membelakangkan parti dan menjadi penggerak utama kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
#Khairy dipecat oleh UMNO
#Hishammuddin digantung daripada UMNO
#Ahmad Zahid Hamidi
#pembersihan umno