Diberi mandat, BN komited tunaikan hasrat rakyat Sarawak

Harits Asyraf Hasnan
Mei 7, 2016 00:13 MYT
NAJIB: Kerjasama yang baik diantara kerajaan negeri dan pusat akan diteruskan demi pembangunan negeri Sarawak. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Kerajaan Pusat akan akan memberi perhatian kepada suara hati rakyat negeri Sarawak setelah Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat untuk mentadbir negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu pembangunan prasarana, pendidikan dan keselamatan antara isu yang akan dilaksanakan BN untuk manfaat rakyat.
"Rakyat Sarawak melalui keputusan ini adalah dekat dihati mereka. Soal pembangunan prasarana, soal pendidikan, kemudahan asas, keselamatan dan lain-lain lagi yang dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat akan dapat kita laksanakan untuk manfaat rakyat Sarawak.
"Saya juga telah memberi pengakuan bahawa kehendak rakyat Sarawak, suara hati rakyat akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat.
"Ertinya apabila sentimen Sarawak untuk Sarawak bererti bahawa Sarawak inginkan Kerajaan Pusat mentafsirkan ini apa yang hak untuk rakyat Sarawak diberi pertimbangan dalam ruang lingkup perlembagaan kita," katanya dalam sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di sini malam tadi.
Selain itu, katanya kerjasama yang baik diantara kerajaan negeri dan pusat akan diteruskan demi pembangunan negeri Sarawak.
BACA: BN menang besar Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11
BACA: Pilihan Raya Sarawak: #TeamAdenan menang besar
BACA: Adenan Satem kekal di DUN Tanjong Datu
"Kemenangan yang kita telah perolehi ini mencerminkan keyakinan rakyat Sarawak kepada kepimpinan Adenan Satem sabagai Ketua Menteri, apa yang saya sifatkan sebagai Team Adenan.
"Disamping itu, kemenangan ini juga melambangkan keyakinan rakyat kepada perkongsian yang begitu kukuh, antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak.
"Perkongsian kuasa dan kerjasama ini akan membolehkan BN menunaikan janji-janji yang kita telah buat dalam masa pilihan raya, disamping apa yang dihasratkan oleh rakyat Sarawak, yakni bagaimana BN boleh bawa Sarawak kepada tahap kemajuan yang lebih tinggi," ujar Najib.
#Barisan Nasional #Sarawak Memilih #sarawak2016 #Team Adenan
;