Dibelenggu politik wang? Ini reaksi calon Ketua Pemuda UMNO
Harits Asyraf Hasnan
Jun 21, 2018 06:00 MYT
Jun 21, 2018 06:00 MYT
Parti UMNO seringkali dilihat terpalit dengan dakwaan politik wang sehingga tokoh veteran parti itu yang juga calon jawatan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengakui ia sukar untuk dipulihkan.
Calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan menegaskan, politik wang telah menyebabkan parti itu telah lari dari ideologi asal penubuhannya.
"UMNO adalah tempat untuk mengaut keuntungan dan juga membuat wang. Ini adalah apa yang dikatakan oleh golongan akar umbi. Pemimpin-pemimpin UMNO juga dikatakan sebagai mencipta kekayaan buat 'broker' atau bergantung ekonomi kepada parti.
"Kita telah silap dan lari dari ideologi politik UMNO kerana ideologi politik UMNO adalah berkhidmat untuk masyarakat. Buat masa ini, rakyat menganggap tidak ada tempat dalam UMNO untuk mencipta apa sahaja yang diimpikan," katanya.
Sementara itu, pencabar Agyl, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dalam mengulas perkara sama berkata pengaruh politik wang berpunca akibat ahli di peringkat bawah yang terpaksa tunduk dengan sistem sedia ada.
"Politik wang ini, suka atau tidak, kita kena akui bahawa apabila kedudukan politik seseorang pemimpin dengan pengaruh yang ada di bawah terpaksa tunduk kepada pengaruh tersebut.
"Mereka (pemimpin) menggunakan kedudukan itu untuk menggunakan mungkin wang untuk membeli sokongan kerana itu struktur dan sistem yang ada.
"Jika kita buat pendemokrasian yang lebih besar dan luas dan beri hak kembali kepada rakyat mungkin kita boleh mengatasi gejala politik wang tersebut," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang calon kerusi sama, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata terma 'cash is king' dalam pemikiran ahli UMNO perlu dihapuskan bagi memastikan parti keramat Melayu itu akan terus kekal relevan pada masa akan datang.
"Ini saat terbaik untuk kita melakukan muhasabah. Kalau kita merasakan bahawa kelekaan dan kealpaan kita ketika kita di tampuk kuasa dahulu, kita mengatakan bahawa 'money is everything' dan 'cash is king' selain bergelumang dalam aspek-aspek negatif sehingga kita dibenci oleh rakyat, maka pada waktu ini sebenarnya adalah masa terbaik untuk kita melakukan perubahan.
"Pada saat ini, saya berani menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia kerana saya melihat ini adalah masa melakukan perubahan," ujarnya.
Turut senada dalam isu politik wang itu adalah Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah yang berpandangan pembaharuan yang lebih radikal perlu dilakukan dalam semua peringkat parti itu.
"Itu sebabnya pembaharuan yang radikal mesti kita lakukan dengan seberapa segera. Kita tidak boleh lagi guna gerak kerja yang begitu idealistik yang mana seolah-olahnya kita menggunakan asas yang sama digunakan pihak kerajaan terdahulu.
"Kita mesti ubah secara radikal tetapi perubahan radikal perlu dilakukan secara luar biasa. Kita tidak boleh lagi guna kaedah-kaedah seolah-olah kita menyantuni pihak kerajaan.
"Mentaliti kita harus di tahap sedia ada iaitu sebagai pembangkang," tegasnya.
Kesemua mereka memberi reaksi tersebut dalam sesi Dialog Calon Ketua Pemuda UMNO 2018, bersiaran semalam yang dihoskan oleh Timabalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron.
Astro AWANI membuka tirai Pemilihan UMNO 2018 dengan menganjurkan Debat AWANI yang meraikan percambahan idea dan buah fikiran yang mana para perwakilan UMNO akan menentukan pemimpin mereka dalam memastikan parti itu bukan sahaja menang pada PRU akan datang sebaliknya terus kekal relevan pada masa akan datang.
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Debat AWANI
#Khairul Azwan Harun
#Khairy Jamaluddin
#Mohd Shahar
#Pemilihan UMNO
#Pemuda UMNO
#politik wang
#Tengku Razaleigh Hamzah
#UMNO
#Wan Agyl