Di sebalik tabir PRU15: Petugas pilihan raya wira tidak didendang
Azmi Ramli
November 26, 2022 08:10 MYT
November 26, 2022 08:10 MYT
SELESAI sudah pemilihan Perdana Menteri ke-10 dan gabungan yang menerajui Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tahniah kepada semua wakil rakyat yang terpilih (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri)! Yakinlah Yang Berhormat (YB) semua adalah yang terbaik daripada kalangan yang terbaik.
Faktanya, seramai 945 calon telah bertanding untuk 221 kawasan Parlimen setakat 19 November 2022 (pengundian untuk Parlimen P.017 Padang Serai ditetapkan pada 7 Disember 2022).
Secara keseluruhan, seramai 1,386 calon bertanding dalam PRU15, termasuk untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang dan Perlis.
'Tabik spring' buat semua YB yang terpilih!
Namun perjalanan PRU15 tidak sempurna tanpa bantuan dan kerjasama petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), ejen parti-parti bertanding (PACA) dan sukarelawan lain termasuk wakil-wakil calon dan peguam parti/calon yang bertanding.
Betapa ramai yang terlibat sebenarnya sebelum keputusan rasmi untuk setiap kawasan pilihan raya dikeluarkan kepada rakyat.
Tidak ramai yang tahu insan-insan di belakang tabir ini yang telah berkorban masa dan tenaga demi memastikan PRU15 berjalan lancar.
Maafkan mereka atas kekurangan di beberapa tempat mengundi yang berlaku di waktu puncak. Mereka telah mencuba yang terbaik, namun untuk memuaskan hati semua adalah hampir mustahil.
Cuba kita fahami dan selami apa yang mereka telah lakukan untuk membantu perjalanan PRU15 yang bersih, adil dan dapat diterima oleh semua parti yang bertanding.
Setiap saluran pengundi (PDM) melibatkan tidak kurang daripada lapan atau sembilan petugas terdiri daripada anggota polis, ketua tempat mengundi (KTM), kerani-kerani tempat mengundi (tiga ke empat orang) dan PACA, bergantung berapa ramai calon yang terlibat.
Di tempat penulis bertugas sebagai agen mengira undi (counting agent), terdapat 16 saluran mengundi. Jika satu saluran sahaja terdapat sembilan petugas (minimum), tidak kurang daripada 144 petugas terlibat di PDM tersebut.
Itu belum dicampur dengan pegawai keselamatan sekolah, anggota polis dan Rela tambahan yang turut menyumbang bakti.
Perlu diingat, petugas-petugas tersebut terutama anggota polis, akan bertugas bergilir-gilir walaupun ada juga di beberapa tempat terpaksa bertugas tanpa henti dari 8 pagi hingga habis proses mengira undi.
Perlu difahami juga walaupun jadual bertugas secara rasmi bermula jam 8 pagi, anggota polis dan petugas SPR perlu tiba lebih awal di PDM.
Di PDM penulis bertugas, kebanyakan anggota polis tiba seawal jam 3 pagi!
Fahamlah kita kenapa kos asal PRU15 mencecah hampir RM1 bilion. Itu anggaran kos asal dan setelah selesai PRU15, kita belum tahu kos sebenar yang dibelanjakan kerajaan.
Namun ketahuilah nilai usaha semua yang terlibat tidak dapat diukur dengan ganjaran wang ringgit.
Tidak kurang juga antara mereka yang terlibat (terutama petugas parti politik), ada yang tidak dibayar malah tanpa berkira mengeluarkan duit sendiri.
Merekalah wira-wira yang ikhlas berbakti untuk parti/calon masing-masing yang sukar dicari ganti.
Buat anda semua, yakinlah anda semua antara wira-wira hebat negara yang telah membantu semua parti politik dan calon-calon mereka dalam PRU15 lalu.
Tanpa khidmat anda, tentunya keputusan PRU15 belum diumumkan sehingga ke hari ini. 'Tabik spring' buat semua yang terlibat!
*Azmi Ramli merupakan penulis buku 'Bersedia Melawan Jin' (2019) dan 'Mudahnya Mengumpul Pahala' (2020) serta peminat setia Astro AWANI.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.