Di mana kewajaran ahli MT UMNO selepas 70 tahun?
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 27, 2015 09:47 MYT
November 27, 2015 09:47 MYT
Ketetapan yang dibuat barisan Majlis Tertinggi UMNO yang menidakkan ucapan Timbalan Presidennya di dalam Perasmian sayap-sayap Disember ini adalah satu tindakan tidak wajar.
"Saya hormati keputusan kolektif tersebut, tetapi sekurang-kurangnya takkanlah Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak boleh berucap di dalam penggulungan?" soal Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan media kepada Astro Awani.
Menurutnya, tiada kewajaran dalam penetapan tersebut yang dilihat seolah-olah menidakkan tradisi yang telah dipraktik selama 70 tahun oleh parti keramat orang Melayu itu.
"Dalam menghormati keputusan Majlis Tertinggi yang diadakan baru-baru ini, saya berpandangan adalah tidak wajar ketetapan yang telah dilakukan oleh barisan Majlis Tertinggi yang secara terang menidakkan tradisi yang telah menjadi amalan UMNO selama ini.
"Adalah menjadi kebiasaan juga bagi ahli-ahli UMNO ini untuk mendengar ucapan, pandangan, dan harapan bukan hanya dari Presiden parti, bahkan suara akar umbi, termasuk Timbalan Presiden parti, Naib-naib Presiden dan juga para perwakilan."ujarnya.
Tegas Shafie, saban tahun Mesyuarat Agong UMNO yang diadakan setahun sekali itu biasanya akan menghimpunkan ahli-ahli UMNO dari semua peringkat akar umbi dari seluruh pelusuk negara.
Menurutnya lagi sebagai parti terbesar negara, perkara menghalang liputan sidang media juga merupakan satu proses yang tidak demokrasi yang cuba ditonjolkan UMNO.
"Kita tidak mahukan hanya ahli UMNO sahaja yang terkesan dengan segala inisiatif dan juga agenda yang bakal dilakukan, sebaliknya kita juga mahu supaya apa yang dilontarkan boleh didengari tidak hanya oleh ahli UMNO bahkan kita juga mahu jutaan rakyat Malaysia yang berada di luar dewan mendengar dan seterusnya menyokong kita."ujarnya.
Shafie turut mengimbau corak kepimpinan tokoh ternama dalam UMNO sebelum ini yang tegar menerima teguran demi kemaslahatan parti.
"Saya masih ingat semasa pertama kali saya mengikut ayahanda saya Tun Sakaran ke Perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1970-an di Hotel Hilton, tempat persidangan pada ketika itu bukan sahaja dipenuhi dengan asap rokok, malahan halwa telinga kita disajikan dengan ucapan-ucapan yang bernas.
"Walaupun ada juga teguran-teguran lantang yang dibuat, tetapi saya dapat lihat setiap ahli UMNO yang hadir termasuk barisan pemimpin tertinggi parti menerima setiap bait ucapan dan teguran itu dengan berlapang dada."ujarnya
Katanya setiap teguran yang dibuat adalah bertujuan untuk penambahbaikan yang menjadi asas kekuatan parti, dan dengan usia yang telah menjangkau 70 tahun, UMNO sepatutnya lebih terbuka dan tidak ekslusif.
"UMNO bukan dimiliki oleh seorang ahli, UMNO adalah hak kepada lebih 3 juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya"ujarnya.
Dalam mengukuhkan sifat kepartian suara ketua-ketua sayap yang lebih arif tentang perjuangan dan memahami perjuangan UMNO lebih daripada pemimpin yang lebih berpengalaman, perlu dihormati dan diambil peduli.
Tambahnya, Presiden parti itu sebelum ini pernah menyuarakan dan mahukan supaya UMNO perlu berubah/reform, setiap ahli parti di peringkat akar umbi perlu lakukan perubahan demi perubahan, bagi memastikan UMNO kekal sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan peredaran masa, mampu menarik minat orang-orang muda dan sebagainya.
"Saya yakin dan pasti ahli UMNO peringkat akar umbi mahu mendengar, meniliti, dan menilai setiap apa yang ingin disampaikan oleh barisan pimpinan ketua-ketua sayap, Naib-naib Presiden, Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden parti sendiri.
"Saya percaya ahli UMNO mampu membezakan mana yang baik untuk kekuatan serta penambaikan kepada parti dan sebaliknya."
"Tetapi sayangnya proses pembaharuan ini tidak lengkap dan tidak berlaku di semua peringkat terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini." ujarnya