Di mana fungsi MKT UMNO? - Bekas Ketua UMNO Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
Januari 30, 2023 11:50 MYT
Datuk Mohd Yusof Ismail mempertikai fungsi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang tidak berani menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan yang merugikan parti tersebut. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Bekas Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail mempertikai fungsi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang tidak berani menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan yang merugikan parti tersebut.
Menurutnya, MKT UMNO perlu menasihatkan pimpinan utama parti itu dalam membuat keputusan tepat kerana mereka mengalas amanah lebih 140,000 perwakilan untuk membantu parti.
“Dalam MKT ada lebih 50 orang lebih yang ada adakah tidak ada MKT yang boleh berfikir tindakan yang dibuat oleh presiden adalah tindakan yang salah.
“Yang saya peliknya adakah MKT yang diamanahkan oleh 140,000 lebih perwakilan MKT yang tidak boleh berfikir tindakan yang dibuat Presiden itu adalah salah nak pecat tidak ada masalah tapi macam saya tidak pernah dapat surat tunjuk sebab, tidak dipanggil Lembaga Disiplin UMNO dan tidak dimaklumkan apa-apa kesalahan saya pun.
“Tiba-tiba dalam satu makluman Majlis Tertinggi saya dipecat saya digantung. Macam Tan Sri Noh Omar kata, nak gantung buat apa dah umur 60 tahun, pecat terus senang,” tegas Mohd Yusof kepada Astro AWANI selepas ditemui di kediamannya di Bukit Pinang, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan MKT UMNO memecat keahlian Khairy Jamaluddin (KJ) dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.
MKT UMNO turut memutuskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.
Mohd Yusof berkata, 'pembersihan' yang dilakukan oleh UMNO telah mengecilkan lagi kekuatan dan kepercayaan orang ramai kepada parti itu selepas membuang pemimpin yang dianggap berpontensi besar pada masa hadapan.
Menurutnya, parti tersebut perlu menggunakan pendekatan lain untuk memperkuatkan kembali UMNO selepas kehilangan banyak undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukan dengan pemecatan dan pengantungan ahli.
“Saya melihat sistem yang digunakan oleh Presiden ini adalah memecat keahlian seseorang pemimpin UMNO kerana bersuara.
“Sepatutnya dia ada pendekatan lain yang boleh dibuat selain daripada memecat. Banyak lagi Cara yang boleh dibuat.
“Contohnya KJ (dipecat) dan Shahril (digantung) antara ikon orang muda yang berjaya menarik orang muda ramai orang muda minat dengan mereka mungkin cara mereka berkempen ada yang tidak disenangi oleh Presiden,” tegas beliau.
Mohd Yusof yang digantung keahlian selama enam tahun pada tahun lalu turut berkata, ramai perwakilan dan Ketua UMNO di semua peringkat menyuarakan kebimbangan dengan apa yang sedang berlaku di dalam parti keramat orang Melayu itu terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri selepas ini.
#Mohd Yusof Ismail #Khairy Jamaluddin dipecat #UMNO #MKT UMNO
;