Dewan Ulama Pas fokus usaha perkukuh kesatuan ummah

Bernama
September 13, 2024 22:17 MYT
Ahmad berkata fokus pertama ialah 'Kesatuan Politik Menerajui Perubahan Ummah' dengan melibatkan penyatuan politik umat Islam di bawah satu panji setelah sekian lama berpecah-belah. - Gambar FB Ustaz Ahmad Yahaya
JERANTUT: Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas ke-63 memfokus kepada usaha memperkukuh kesatuan ummah dengan menggariskan tiga teras utama selaras tema kali ini iaitu 'Kesatuan Asas Kekuatan.'
Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Ahmad Yahya berkata fokus pertama ialah 'Kesatuan Politik Menerajui Perubahan Ummah' dengan melibatkan penyatuan politik umat Islam di bawah satu panji setelah sekian lama berpecah-belah.
Beliau berkata fokus kedua ialah 'Kesatuan Berpaksikan Intelektual dan Ilmu Pengetahuan' yang menyaksikan Dewan Ulama Pas menjadi barisan hadapan dalam mengetengahkan wacana intelektual Islam kepada masyarakat.
"Fokus ketiga ialah 'Kesatuan dalam Memartabatkan Institusi Pendidikan Agama.' Dewan Ulama perlu memartabatkan institusi pengajian agama di kawasan masing-masing, suburkan pengajian agama dan menarik seramai mungkin masyarakat mendekati pengajian agama," katanya.
Ahmad berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada muktamar itu di Kompleks Imam Syafie' Kampung Temin di sini hari ini yang turut dihadiri Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin.
Usaha memperkukuh kesatuan ummah turut menjadi inti pati utama beberapa pembahas Dewan Ulama Pas antaranya perwakilan Pahang Roslan Md Esa yang mengajak umat Islam mengetepikan perselisihan dan sifat taasub yang boleh menjurus kepada fitnah.
Perwakilan Selangor Mohd Zubir Embong pula berkata Dewan Ulama perlu menggandakan usaha mengeratkan kesatuan ummah dalam mendepani pelbagai cabaran masa kini seperti penjajahan minda oleh ideologi sekularisme dan liberalisme.
"Akhirnya ulama perlu turun untuk memberi penerangan kepada masyarakat, kita kena bekerja keras untuk memastikan kedudukan Islam terjamin," katanya.
Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-70 bermula Rabu lepas dengan acara kemuncak pada esok dan Ahad di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.
-- BERNAMA
#fitnah #pendidikan #kesatuan ummah #PAS
;