Dewan Rakyat lulus Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-15

Bernama
Februari 14, 2023 06:15 MYT
Jawatankuasa itu diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul (gambar) sebagai Pengerusi dan dianggotai enam ahli jawatankuasa.- Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan pelantikan Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-15.
Jawatankuasa itu diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebagai Pengerusi dan dianggotai enam ahli jawatankuasa.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya), Menteri Pengangkutan Anthony Loke (PH-Seremban) dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (PH-Pandan).
Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Jawatankuasa Pemilih #Johari Abdul #Hamzah Zainudin