Dewan Rakyat kecoh dengan laungan "rasis"

Diyana Ibrahim
November 19, 2018 15:29 MYT
Waytha Moorthy di Bangunan Parlimen hari ini. - BERNAMA
P. Waytha Moorthy hari ini 'dihentam' oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat sehingga memaksa beliau memberi jawapan bertulis susulan isu kontroversi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dewan Rakyat mula 'panas' apabila Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) tidak bersetuju dengan penjelasan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu.
Reezal Merican menuduh Waytha Moorthy memberi kenyataan mengelirukan, seolah-olah ratifikasi ICERD berhubung Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, mempunyai had masa.
Waytha Moorthy berkata dia tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.
"Memang jelas apa yang saya cakap dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, saya tidak sebut pun ada jangka masa, saya kata tidak ada jangka masa," katanya.
Bagaimanapun, Reezal Merican tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan mengulangi tuduhannya.
Perbalahan berterusan apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mula mengaitkan isu penyebaran video tular pada Sabtu lalu berhubung kenyataan Waytha mengenai pencabulan hak asasi ketika cuba menjelas pendirian kerajaan mengenai ICERD.
"Masalahnya, Menteri tak layak (bercakap), dalam cakap lain, luar cakap lain, ini bukan Menteri Perpaduan," kata Noh yang disokong oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Dewan Rakyat bertambah hangat apabila Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) melaungkan perkataan "rasis" dan kemudian diikuti oleh Ahli Parlimen pembangkang yang lain.
Pekikan "rasis" di dewan berlarutan sehingga lima minit sebelum keadaan ditenangkan oleh Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
"Jika suasana ini berterusan, saya terpaksa ambil tindakan. Parlimen tempat perbahasan yang intelektual, benarkan Menteri habis cakap dulu," tegasnya.
Sebelum itu, Datuk C. Sivarraajh (MIC-Cameron Highlands) bangun dan mencadangkan kepada Speaker untuk menukar wakil menteri lain menjawab bagi pihak Waytha Moorthy.
Waytha Moorthy berapa kali dilihat cuba bangun untuk menghabiskan sesi penggulungannya, bagaimanapun dihalang oleh ahli pembangkang lain.
Kekecohan di dewan menyebabkan menteri itu akhirnya akur untuk memberi jawapan bertulis mengenai ICERD.
"Speaker, saya fikir Ahli Parlimen lain tidak beri perhatian, kerana itu saya akan beri jawapan bertulis," katanya.
#Dewan Rakyat #ICERD #Waytha Moorthy
;