Dewan Rakyat kecoh, ahli Parlimen pembangkang 'angkat kaki'

Sinar Harian
September 19, 2023 19:46 MYT
Suasana tegang ketika Perdana Menteri menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang bertindak meninggalkan Dewan Rakyat setelah bertikam lidah ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.
Kekecohan berlarutan lebih setengah jam apabila pemimpin-pemimpin pembangkang turut bangkit mempertahankan Radzi.
Susulan itu, Johari meminta Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat namun gagal memuaskan hati pembangkang.
Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya dan mendesak Johari agar meminta Anwar menarik balik kenyataan itu.
Johari bagaimanapun menjelaskan, Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta semua ahli dewan duduk untuk memberi laluan penggulungan diteruskan.
Perkara itu membuatkan Radzi tidak berpuas hati dan terus bersuara dan kelihatan agak emosi.
Keengganan Radzi untuk memberi laluan kepada sesi penggulungan akhirnya menyebabkan Johari membuat keputusan memintanya keluar dewan.
Atas dasar maruah ahli Parlimen mereka, kesemua pemimpin pembangkang sepakat keluar dewan bersama Radzi.
Dalam sidang media di Lobi Parlimen, Radzi berkata, beliau mempertahankan tindakan sebagai seorang yang bermaruah.
"Kalau lihat rekod saya dalam dewan, saya seorang yang sopan dan amat mematuhi peraturan. Apa yang saya minta sangat jelas, supaya perdana menteri tarik balik (kenyataan).
"Saya faham peraturan dewan tapi dalam masa sama, dewan inilah yang kita gunakan untuk tegakkan keadilan pada rakyat," katanya. - Sinar Harian
#Dewan Rakyat #kecoh #Radzi Jidin #pembangkang keluar dewan
;