Dewan Rakyat: Belanjawan 2023, 12 RUU, empat usul diluluskan dalam mesyuarat kali ini
Ridauddin Daud
April 4, 2023 15:46 MYT
April 4, 2023 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 menyaksikan sebanyak 12 Rang Undang-Undang (RUU) dan empat usul dibawa kerajaan diluluskan.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, Belanjawan 2023 turut diluluskan Dewan Rakyat yang bersidang selama 31 hari, bermula pada 13 Februari lepas dan tamat pada Selasa.
Menurutnya, mesyuarat kali ini juga menyaksikan beberapa pembaharuan, antaranya sesi soal jawab Menteri (MQT) dijawab sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada setiap Selasa.
“Jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan juga kerap kali melebihi daripada 10 pertanyaan lisan.
“Ini disusuli urusan Kamar Khas yang telah memberi peluang kepada Yang Berhormat seramai tujuh ahli dari kerajaan dan enam ahli dari pihak pembangkang untk mempengerusikan secara sementara Mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16(5).
"Perkara sebegini tidak pernah terjadi,” katanya ketika menyampaikan ucapan di akhir persidangan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam ucapan sama, beliau juga turut memuji komitmen wakil rakyat yang menghadiri persidangan meskipun ada harinya sampai malam dan tiada rehat pada waktu tengah hari.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau juga sempat mengucapkan selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh Malaysia.