Desakan Waytha letak jawatan, Kabinet perlu ada pendirian kolektif - Penganalisis
Astro Awani
Disember 22, 2018 10:41 MYT
Disember 22, 2018 10:41 MYT
Isu desakan perletakan jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy perlu dibincangkan secara menyeluruh oleh jemaah Kabinet kerana kecelaruan pandangan hanya akan memberikan mesej dan isyarat yang berbeza dalam kalangan rakyat.
Menurut penganalisis politik USM, Prof Dr Sivamurugan Pandian, Kabinet harus nyatakan pendirian secara kolektif dalam isu tersebut agar ia tidak berpanjangan.
“Menteri boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh rakyat, namun dalam situasi hari ini, kuasa rakyat jauh melangkaui apa yang boleh dilakukan oleh jemaah Kabinet," ujarnya.
Tambah Siva, keputusan drastik walaupun pahit perlu diambil oleh kerajaan demi menghormati rakyat dan isu itu harus dijadikan pengajaran supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di sebalik keterbukaan demokrasi dan integriti yang diamalkan.
Menurut Siva, desakan rakyat supaya Waytha meletakkan jawatan adalah refleksi keterbukaan yang menjadi agenda besar kerajaan hari ini.
Realiti 'Malaysia Baharu' adalah rakyat mempunyai suara untuk mengkritik pemimpin dan meminta mereka untuk melepaskan jawatan.
Namun begitu, kuasa mutlak untuk menggugurkan, melantik atau meminta seseorang pemimpin meletakkan jawatan masih lagi terletak di tangan Perdana Menteri.
“Saya percaya Perdana Menteri sedang melihat isu dengan berhati-hati dengan melihat saripada pelbagai perspektif supaya tidak terjerat dengan beberapa perkara yang akhirnya akan menguji kuasa pada beliau,” kata Siva ketika ditemu bual dalam program Komen Pagi di Astro AWANI.
Siva juga menganggap keterbukaan itu juga adalah amalan baharu dalam konteks negara dan percaya ianya jika diuruskan dengan baik, ianya akan mewujudkan kematangan secara berhemah dalam kerajaan baharu.
#agenda
#integriti
#kabinet
#kerajaan
#letak jawatan
#Malaysia
#menteri
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Perdana Menteri
#politik
#rakyat
#Sivamurugan Pandian
#video
#Waytha Moorthy