Desak PRU15 segera bukan kerana takut hukuman mahkamah - Zahid Hamidi
Ridauddin Daud
Ogos 27, 2022 17:57 MYT
Ogos 27, 2022 17:57 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa desakan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan adalah kerana beliau takut dengan hukuman mahkamah terhadapnya.
Bahkan, tegas beliau, pihak yang memomokkan perkara itu sebenarnya takut dengan hamba Allah bernama Ahmad Zahid Bin Hamidi selain tidak yakin kepada diri sendiri.
Dalam masa sama, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau membawa suara ahli-ahli UMNO yang setia, bukan suara sumbang yang berhasrat menguburkan parti itu.
“Biarlah saya mengingatkan kita semua termasuk pembangkang. Desakan supaya pilihan raya diadakan bukan isu yang baharu, ia bukan soal kita gilakan kuasa.
“Ia juga bukan soal kita gopoh hingga ada yang menuduh sesama sendiri kononnya kita mahukan pilihan raya kerana gilakan jawatan dan gilakan kedudukan.
“Desakan ini telah kita lakukan, sejurus kerajaan Pakatan Harapan terbubar dengan sendirinya, ekoran percaturan kuasa sesama mereka.
“Begitu juga apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, kita dengan tegas menyebut, kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan pilihan raya perlu diadakan dengan segera,” katanya ketika berucap pada acara Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, mandat perlu dipulangkan semula kepada rakyat dan pendirian UMNO konsisten sejak awal lagi.
“Jadi janganlah ada pula suara di antara kita sendiri, yang mula menuduh kita gopoh mahukan pilihan raya. Kita tegas dalam perkara ini.
“Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat Hassan (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan).
"Ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO,” tegasnya.
Ahmad Zahid, 69, berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Sementara, Najib pula pada Selasa lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.