Desak Presiden letak jawatan: Seorang anggota UMNO berdepan tindakan dipecat
Bernama
Disember 11, 2015 21:18 MYT
Disember 11, 2015 21:18 MYT
Seorang daripada sembilan anggota UMNO dalam bahagian Telok Kemang yang terlibat dalam perbuatan mendesak Presiden parti supaya berundur, akan menghadapi tindakan dipecat daripada parti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mengesahkan perkara itu, berkata lelaki itu merupakan seorang anggota biasa di sebuah cawangan.
Katanya pemecatannya itu yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti, perlu diperakukan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Bercakap kepada Bernama, Tengku Adnan berkata lapan lagi anggota, yang kesemuanya merupakan ketua cawangan di bahagian itu, telah dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin mengikut tahap kesalahan masing-masing.
“Seorang ahli biasa akan dipecat tetapi surat belum lagi dikeluarkan kepada beliau sebab ia memerlukan perakuan Majlis Tertinggi.
“Lima ketua cawangan akan digantung dua penggal daripada menyertai pemilihan parti dan hilang jawatan mereka dalam parti, berkuat kuasa serta-merta. Lima orang ini telah dapat surat daripada Lembaga Disiplin.
“Tiga lagi ketua cawangan telah diberi surat amaran,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut sekumpulan anggota UMNO di Bahagian Teluk Kemang mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatannya dalam parti kerana mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
Kumpulan itu kemudiannya dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti pada 2 Disember, untuk siasatan.
Ditanya mengenai perbezaan hukuman terhadap para anggota terbabit, Tengku Adnan menjelaskan bahawa hukuman itu didasarkan kepada hasil siasatan Lembaga Disiplin dan ia menimbangkan hukuman mengikut tahap kesalahan yang mereka lakukan.
“Bukan setakat meminta presiden supaya meletak jawatan. Terdapat juga perkara lain seperti menghasut, membocorkan rahsia parti dan cuba melemahkan parti.
“Mereka telah melampaui batasan... tindakan diambil memandangkan kami (parti) mempunyai undang-undang dan peraturan,” katanya.
Tengku Adnan tidak menghuraikan tahap kesalahan mereka.