'Derhaka keluar UMNO, pulangkan kembali kerusi'
Sinar Harian
September 26, 2018 19:29 MYT
September 26, 2018 19:29 MYT
Lima ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti didesak memulangkan semula kerusi mereka kepada Umno.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah meminta kerusi Parlimen, Jeli, Kimanis, Bagan Serai, Masjid Tanah dan Bukit Gantang diserahkan kembali kepada Umno supaya rakyat dapat memilih wakil rakyat mereka yang baharu.
“Serah kembali lima kerusi Parlimen itu kepada Umno, biar rakyat pilih semula wakil rakyat baharu mereka, barulah adil. Ini yang sepatutnya mereka lakukan.
“Ini tidak, mereka keluar tinggalkan parti, bawa sekali mandat yang diberi, itu tindakan sangat tidak adil dan tidak wajar berlaku kerana ia memperlihatkan mereka ini derhaka,” katanya ketika sesi wawancara bersama Sinar Harian di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong menegaskan,dalam setiap pilihan raya calon yang bertanding atas tiket Umno diberi kemenangan oleh pengundi, penyokong dan rakyat yang sayangkan Umno.
Oleh itu, katanya, tidak adil sekiranya keluar Umno tetapi membawa lari sekali mandat yang diberikan rakyat.
“Begitu juga dengan mereka yang meninggalkan parti, sepatutnya apabila mereka keluar daripada parti tinggallah, letaklah jawatan sebagai ahli Parlimen... serahlah kembali kepada Umno.
“Kerana apa yang mereka miliki diberikan oleh Umno, serah kembali kepada rakyat baik di Bagan Serai, Masjid Tanah, Jeli, Kimanis dan Bukit Gantang,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin mana-mana pemimpin yang angkat kaki meninggalkan Umno kerana mereka tidak dapat berpegang kepada falsafah dan prinsip parti.
Bahkan katanya, pemimpin-pemimpin ini juga keluar atas alasan peribadi dan berdepan masalah-masalah tertentu.
“Tapi mereka ini sangat tidak baik, setiap kali ada yang keluar parti.. tuduh Umno sebagai tidak relevan, Umno lari daripada dasar perjuangan.Itulah saja alasan mereka lakukan,” katanya.
#Bagan Serai
#bukit gantang
#derhaka
#jeli
#kerusi Parlimen
#Ketua Penerangan UMNO
#Kimanis
#Masjid Tanah
#pulangkan kerusi
#Shamsul Anuar Nasarah
#UMNO