Dengarlah suara kaum wanita bawa sejahtera ke Sabah

Ruzaini Zulkepli
Ogos 25, 2020 15:32 MYT
Harapan golongan itu untuk terus ditempatkan di setiap sektor perlulah didengar setiap pihak bagi memastikan kesimbangan faktor ekonomi dan sosio. - Foto Astro AWANI
Peranan golongan wanita dalam membangunkan negeri Sabah ke peringkat lebih tertinggi haruslah diambil kira.
Menurut Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita), Datuk Dayang Haja Khatijah Datu Bachtiyal, harapan golongan itu untuk terus ditempatkan di setiap sektor perlulah didengar setiap pihak bagi memastikan kesimbangan faktor ekonomi dan sosio.
Jelasnya, sebagai sebuah persatuan badan bukan kerajaan (NGO), sasaran untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita haruslah dicapai bagi mencapai negeri yang berdaya tinggi di masa hadapan.
"Harapan kita untuk wanita di Sabah dan juga kerajaan yang mungkin akan mendengar cadangan, mendengar luahan, mendengar segala hal ehwal wanita.
"Yang lebih efektif lagi maksudnya kalaulah kerajaan itu sekiranya akan terbentuk, kita masih menagih 30 peratus penyertaan wanita dalam semua sektor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kota Kinabalu, pada Selasa.
Untuk rekod, IKSnita ditubuhkan pada 2014 dan mempunyai 2,000 ahli di seluruh negeri Sabah yang berperanan memperjuangkan hal sejagat kaum hawa di negeri ini termasuklah dalam konteks usahawan.
Mengulas mengenai peranan kaum hawa di dalam arena politik dan juga sektor kerajaan, Dayang Haja Khatijah berkata, pihaknya meminta semua pihak terutamanya parti akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini untuk menampilkan calon wanita berpotensi diketengahkan.
"Untuk kerajaan yang akan datang dan parti-parti politik yang akan bertanding, kami dengan rendah hati meminta kalau ada wanita di setiap kawasan itu untuk ditampilkan sebagai calon pada pilihan raya negeri.
" Itu harapan kami sebab to build a nation, is to build a woman, kalau wanita itu boleh membangun seluruh negara ini akan lebih bahagia," katanya.
Tambah beliau, sudah tentu isu terbelenggu di kalangan kaum Hawa adalah persepsi sesetengah pihak menggangap golongan itu bersikap seksis dan adakalanya mempertikaikan kemampuan mentabdir, namun Dayang Haja Khatijah menjelaskan, ianya harus diubah.
"Saya rasa masa begini, era digital, semua era internet dan segalanya, contoh-contoh luar negara wanita tidak mustahil untuk menjadi Ketua Menteri di Sabah.
"Ini kerana wanita seperti kami sudah lengkap sebagai seorang ibu kita menjaga keselamatan, jaga kesihatan, jaga kewangan, jaga hal ehwal semuanya cuma harus dipandang dengan skala lebih besar," katanya.
Beliau turut berkata, dengan penyertaan golongan wanita mampu memberikan impak positif kepada perkembangan negeri ini mahu pun negara, namun ia perlu di sokong ramai pihak bagi merealisasikan impian itu.
#calon #Dayang Haja Khatijah Datu Bachtiyal #kaum wanita #kerajaan #keselamatan #kesihatan #politik #Sabah Memilih #sosio-ekonomi #usahawan
;