'Demokrasi UMNO bukan politik pasar' - KJ

Wan Syamsul Amly
November 28, 2015 14:52 MYT
KJ: 'Demokrasi UMNO bukan politik pasar' - Gambar fail
Amalan demokrasi UMNO sentiasa mengutamakan ketegasan terhadap mana-mana ahli yang melakukan tindakan melampaui batas sejak dahulu sehingga sekarang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan amalan sejak dahulu termasuk dalam proses pemilihan presiden parti.
"Ramai ahli yang mengkritik kepemimpinan tetapi tidak dikenakan tindakan sebaliknya Hamidah (Datuk Hamidah Osman) dipecat kerana sudah melampaui batas.
"Kita buat pemilihan Majlis Tertinggi sehingga peringkat bahagian. Bahagian yang memilih Presiden parti ketika ini.
"Bukan macam parti lain, pemilihan jawatankuasa DAP ramai yang mengundi, tetapi orang yang terima undi paling tinggi tidak menjadi pengerusi," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dana Bumiputera anjuran Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Khairy berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang melahirkan rasa kesal berhubung cara pemecatan Ketua Wanita UMNO Gopeng (Hamidah) daripada parti yang menurutnya banyak berjasa kepada parti dan kerajaan.
Dalam entri terbaru di akaun Facebooknya, Muhyiddin berkata apa yang menjadi persoalan ialah asas dan proses pemecatan Hamidah daripada parti kerana berdasarkan kenyataan Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana menghadiri majlis bersama bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini memutuskan Hamidah dipecat atas pelanggaran disiplin parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberitahu, setakat ini hanya Hamidah diambil tindakan biarpun terdapat hal berkaitan diutarakan dalam mesyuarat berkenaan.
Dalam pada itu kata Khairy, elemen kebebasan di dalam demokrasi sendiri perlu dituruti dengan disiplin.
"Dalam kebebasan demokrasi, saya sebut dahulu kena ada disiplin, ini parti politik dan bukan pasar.
"Kita kena ada disiplin dan tidak boleh buat sesuka hati. Sesiapa yang langgar disiplin parti kena ambil tindakan. Kalau parti Pas atau AMANAH sekali pun kena buang parti. kita pun ada disiplin," jelasnya.
Hamidah sebelum ini mendakwa dirinya menjadi 'kambing hitam' UMNO.
Jelasnya, dia dipecat tanpa sebarang penjelasan atau surat oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO.
#Hamidah Osman #majlis tertinggi #Najib Razak #pecat #UMNO
;