'Deklarasi Rakyat': Pakatan Harapan dapat tembusi pengundi Melayu atas pagar

T K Letchumy Tamboo
Mac 13, 2016 23:53 MYT
Pakatan Harapan berharap dapat menembusi 40 peratus pengundi Melayu atas pagar dengan menandatangani Deklarasi Rakyat bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Rafizi Ramli.
Pakatan Harapan berharap dapat menembusi 40 peratus pengundi Melayu atas pagar dengan menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata ini adalah antara keuntungan kepada gabungan itu ekoran tindakan tersebut.
Rafizi berkata menurut bacaannya, pengundi tegar Melayu 20 peratus menyokong UMNO, 20 peratus menyokong PAS dan 20 peratus menyokong Pakatan Harapan.
Katanya terdapat 40 peratus pengundi Melayu atas pagar yang sah telah menolak UMNO kerana pelbagai sebab tetapi tidak dapat dipastikan golongan ini menyokong parti mana.
“Kita tahu pembangkang kalah sebab 5 hingga 10 peratus pengundi Melayu akan tetap dengan Barisan Nasional (BN) kerana naratif perkauman UMNO BN.
“Pengundi bukan Melayu terutamanya orang Cina ada tempoh masa untuk beri sokongan padu hampir 90 peratus kepada pembangkang. Kalau pembangkang tiada perubahan, mungkin sokongan itu akan diberi kepada pihak lain. Jadi, sokongan padu undi bukan Melayu bukan untuk selama-lamanya.
“Dengan kehadiran Tun Mahathir atas pentas kita dan membaca ‘skrip’ kita, kita ada peluang tembusi sekurang-kurangnya 2 ke 5 peratus daripada 40 peratus pengundi Melayu atas pagar," katanya dalam Forum "Pembangkang + Pasukan Mahathir : Berbaloikah untuk rakyat?" anjuran Angkatan Muda Keadilan.
Tambahnya lagi Dr Mahathir yang mencari pihak pembangkang untuk menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ dan bukan sebaliknya.
“Tun Mahathir yang datang kepada kita, kita tidak pergi kepada Tun Mahathir.
“Sebab itu daripada 58 orang yang menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’, kebanyakkannya dari pihak pembangkang,” katanya.
Turut menjadi panel forum tersebut adalah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 individu menandatangani deklarasi yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Tun Dr Mahathir.
Turut memberi sokongan adalah Penasihat DAP Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
#Anthony Loke #DAP #Deklarasi Rakyat #Rafizi Ramli