Deklarasi Rakyat bukan untuk jatuhkan BN - Mukhriz Mahathir

Astro Awani
Mac 6, 2016 12:37 MYT
Mukhriz perjelas matlamat Deklarasi Rakyat bukan untuk memenangkan Pembangkang.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyelar tindakan sesetengah pihak yang memainkan isu bahawa tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani Deklarasi Rakyat hanya akan membawa kepada kejatuhan Barisan Nasional (BN).
Kata Mukhriz apa yang lebih penting untuk difahami adalah amalan demokrasi negara ini tidak mengizinkan Parti Pembangkang merampas kuasa dari BN tanpa melalui proses pilihan raya.
TONTON: Deklarasi Rakyat wakili suara rakyat Malaysia, bukan mana-mana parti - Tun M
TONTON: 4 tuntutan Deklarasi Rakyat dibaca Tun Mahathir
Berikut adalah intipati kenyataan Mukhriz dari akaun Facebook Mukhriz Mahathir FC:
1. Perlu difahami bahawa matlamat yangg satu yang dipelopori oleh Tun Mahathir dan semua yang menandatangani Deklarasi Rakyat ialah agar Datuk Seri Najib undur sebagai Perdana Menteri. Tiada langsung niat untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah ketika ini.
2. Tidak masuk akal sama sekali dakwaan bahawa tindakan Tun M ini akan menguntungkan Pembangkang termasuk DAP. Adakah BN akan tumbang jika Najib undur? BN tetap mempunyai majoriti kerusi Dewan Rakyat. Yang hanya perlu dilakukan ialah pelantikan PM yang baru; dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen BN, bukan dari Pembangkang.
3. Kalau ikut logik, Pembangkang akan dapat memenangi PRU14 dengan mudah kerana penolakan Rakyat terhadap Najib bermakna BN juga ditolak secara total. Tapi sebaliknya, Pembangkang mahu Najib diganti dengan pemimpin BN yang lain sebelum PRU14. Kenapa? Kerana mereka mahu negara diselamatkan dari kemusnahan.
4. Pendirian ini turut diperkukuhkan apabila Parti Pembangkang faham dan terima hakikat bahawa amalan demokrasi negara tidak mengizinkan mereka merampas kuasa dari BN tanpa melalui PRU.
5. Kenyataan beberapa pemimpin UMNO bahawa Rakyat perlu tunggu PRU14 untuk tukar PM sangat membahayakan kepentingan BN. Adakah maksudnya PM baru itu akan datang dari kalangan Pembangkang setelah BN tumpas di PRU tersebut? Itu sama sekali bukan matlamat Tun M.
6. Untuk selamatkan negara, malah untuk pertahankan kedudukan BN sebagai Kerajaan, Najib perlu diganti pemimpin BN lain sebagai PM sebelum PRU14. Jika Najib masih memimpin BN hingga PRU14, BN akan menerima padahnya. Amarah Rakyat sudah tidak boleh dibendung lagi. "Tunggulah PRU nanti. Kami tahulah apa nak buat". Itu yang kedengaran rata-rata di kalangan Rakyat sekarang.
#Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir #Deklarasi Rakyat #Tun Mahathir Mohamad
;