Deklarasi Mahathir tidak akan berjaya - Ahmad Maslan

Bernama
Mac 8, 2016 07:20 MYT
Ahmad berkata UMNO dan kerajaan BN tidak akan berdiam diri dan membiarkan kumpulan yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' itu melakukan apa sahaja. -Gambar fail
Usaha kumpulan 'Deklarasi Mahathir' tidak akan berjaya kerana kebanyakan isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh pelbagai pihak, kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat UMNO Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau telah membaca keseluruhan deklarasi itu, dan kebanyakan isu yang dibangkitkan telahpun dijawab dalam pelbagai platform, termasuk isu 1MDB dan dana politik.
"Tetapi mungkin pihak-pihak mereka itu tidak pernah ingin bersetuju terhadap jawapan-jawapan yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini mengenai kerjasama beberapa anggota UMNO dan pembangkang yang menandatangani deklarasi diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas yang antara lain mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai perdana menteri.
Ahmad sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) 'Keyboard Warriors' termasuk golongan profesional dan bukan profesional.
Badan-badan tersebut berminat untuk membantu Biro Teknologi Maklumat UMNO dalam memberikan jawapan yang tepat dan benar mengenai isu-isu utama negara kepada ahli persatuan masing-masing.
Antara yang hadir ialah peguam bela dan peguam cara Kamarudin Ahmad daripada Kamarudin & Partners serta jurutera Kelana Putra Muhamad daripada Persatuan Jurutera Melayu Islam (MIEA).
Ahmad berkata UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berdiam diri dan membiarkan kumpulan yang terlibat dengan Deklarasi Mahathir itu melakukan apa sahaja.
"Setiap apa yang mereka buat itu akan kita jelaskan kepada rakyat. Kita harap rakyat akhirnya akan mengetahui bahawa terlalu banyak perkara positif yang dibuat oleh kerajaan BN," katanya.
#1MDB #Ahmad Maslan #Deklarasi Mahathir #Najib Razak
;