Dedah sasaran kerusi PRU15, Rafizi tegur MUDA

Rahimah Abdullah
September 7, 2022 21:17 MYT
Rafizi berkata, perkara itu sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukan didedahkan kepada umum. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegur Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar yang mendedahkan sasaran kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tegasnya, perkara itu sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukan didedahkan kepada umum.
"Benda ini kena bincang tertutup, bukan umum. Nanti bising (kecoh) lagi," katanya dalam satu status yang dimuat naik di laman Twitternya pada Rabu.
Beliau turut berkongsi laporan media kenyataan Tarmizi yang menyatakan MUDA dan DAP Negeri Sembilan menjalin kerjasama bagi memperkasa gerak kerja bersama di negeri itu.

Nasihat saya kpd semua parti di semua peringkat: elakkan umum kerusi mana yang nak ditandingi dll. Tidak membantu. Fokus lawan BN PN; tunjukkan knp rakyat tidak wajar undi mereka. Benda ni kena bincang tertutup, bkn umum. Nnt bising lg.https://t.co/iIUzsLHTMk

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) September 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tarmizi dilapor berkata, MUDA menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Pilah selain meneliti beberapa kerusi berpotensi lain.
Rafizi menasihatkan semua parti di semua peringkat agar mengelak dedahkan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melawan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
"Nasihat saya kepada semua parti di semua peringkat, elakkan umum kerusi mana yang nak ditandingi dan lain-lain.
"Tidak membantu. Fokus lawan BN dan PN, tunjukkan kenapa rakyat tidak wajar undi mereka," tambahnya.
Pada Selasa, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebulat suara bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilapor berkata, gabungan itu masih belum membincangkan penyertaan MUDA.
#Rafizi Ramli #PKR #PH #muda
;