Debat Perdana Anwar-Najib: Dewan Sivik MBPJ atau MATIC?
Astro Awani
Mei 5, 2022 12:34 MYT
Mei 5, 2022 12:34 MYT
KUALA LUMPUR: Debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib ditetapkan pada 12 Mei, hanya seminggu lagi namun hingga kini, lokasi masih belum ditetapkan.
Pada awalnya, Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) menjadi lokasi pilihan namun pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata beliau dan Pejabat Datuk Seri Najib Razak kini masih mencari venue bersesuaian.
“Cuma kita tunggu keputusan bersama,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Difahamkan, dua lokasi kini menjadi pertimbangan penganjur iaitu Dewan Sivik MBPJ dan Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).
Sebelum ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta jasa baik pengurusan UM dalam mempertimbang kelulusan bagi penganjuran debat antara Najib dan Anwar.
KMUM berkata penganjuran debat itu akan mencerminkan pembudayaan diskusi ilmiah serta diskusi perihal pembuatan dasar yang perlu dimartabat.
Begitupun, Najib baru-baru ini memaklumkan UM tidak bersetuju dengan pilihan dewan namun debat antaranya dan Anwar akan tetap diteruskan tetapi di lokasi lain.
Kedua-dua tokoh itu akan berdebat berhubung isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu melibatkan hala tuju negara.
Astro AWANI akan menyiarkan debat itu secara langsung di semua platformnya pada 12 Mei nanti.