Debat 1MDB: DAP sifatkan 'lampu hijau' kerajaan sebagai sandiwara politik
Hafiz Marzukhi
November 3, 2015 13:55 MYT
November 3, 2015 13:55 MYT
DAP mempersoalkan keikhlasan menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) yang telah memberi sokongan kepada penganjuran debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Ketua Whip DAP Anthony Loke bagaimanapun berkata beliau tidak akan mempersoalkan kenyataan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Tan Sri Speaker telah membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada, kami faham. Namun, adakah keputusan ini tidak diketahui Menteri-Menteri BN?
"Kenapa perlu bersandiwara dengan menyatakan sokongan kepada penganjuran debat?" kata Loke dalam sidang media di lobi Parlimen tengah hari ini.
Ditanya jika pihak pembangkang akan mempertimbangkan pengganti kepada Tony Pua, Loke berkata keputusan itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama rakan dalam Pakatan Harapan.
"Kami mempertimbangkan cadangan tersebut dan akan mengumumkan keputusannya dalam satu atau dua hari," kata Loke.
Debat atau bual bicara secara siaran langsung di televisyen di antara Pua dan Arul Kanda juga dilihat mendapat 'lampu hijau' kerajaan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah pun menyatakan kesediaan untuk menyiarkan debat itu secara langsung.
Terbaru, Salleh memberitahu bahawa RTM mencadangkan agar debat 1MDB Arul-Tony Pua diadakan pada jam 9 hingga 10 malam Jumaat ini, iaiatu 6 Nov 2015 di Studio 1 tanpa penonton.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan debat ini sebagai peluang untuk menyerlahkan keberanian dan kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.