"Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya" - Muhyiddin bidas Najib

Hasimi Muhamad
Februari 4, 2022 16:49 MYT
Siri berbalas kenyataan antara bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak nampaknya tidak menunjukkan tanda reda. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Siri berbalas kenyataan antara dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak nampaknya tidak menunjukkan tanda reda.
Terbaharu kurang 24 jam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sekali lagi menyelar Najib dengan menyifatkan Ahli Parlimen Pekan itu tidak faham bahasa.
Ia susulan tindakan Najib yang mendakwa Muhyiddin tidak bercakap benar tentang soal pencalonan Ketua Menteri Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu pada September 2020.
"Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya. Bila saya kata UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta.
"Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak dinamakan calon," katanya dalam kemas kini di laman Facebook, pada Jumaat.
Jelas Muhyiddin lagi, ketika pengumuman Hajiji sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, beliau memberi bayangan berhubung perkara itu sekiranya rakan-rakan dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain bersetuju.
"Saya ulang, saya beri bayangan kalau rakan-rakan lain bersetuju. Saya cakap secara berhemah.
"Kalau Datuk Seri Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macamana?," sindirnya.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menyertakan pautan berita mengenai kenyataannya yang dilaporkan pada 12 September 2020.
BACA: 'Internet tak lupa' - Najib dakwa Muhyiddin cuba manipulasi fakta PRN Sabah
Terdahulu, Najib mendakwa, kenyataan Muhyiddin bahawa PN hanya menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri selepas kempen berakhir adalah tidak benar, kerana rekod media menunjukkan kenyataan itu dibuat pada 12 September 2020, iaitu hari pertama berkempen.
“Tapi internet tak lupa. Hari dia kata Hajiji bakal Ketua Menteri Sabah ialah 12 Sept 2020. Hari penamaan calon (iaitu bermulanya kempen PRN Sabah: 12 Sept, 2020).
"Jadi, tang mana yang kamu tunggu hingga kempen tamat sedangkan sebelum kempen bermula pun kamu sudah berniat nak namakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah?
“Awal-awal lagi dia sudah rancang - bukan sehingga tempoh kempen tamat seperti dalam kenyataan dia tadi,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu.
PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya merampas tampuk pemerintahan negeri selepas menang 38 daripada 73 kerusi DUN berbanding Warisan Plus memenangi 32 kerusi.
PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala BN menang 14 dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula meraih kemenangan di tujuh kerusi yang ditandingi.
#Muhyiddin Yassin #Najib Razak #Politik Malaysia #Umno Bersatu
;