Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid sudah aktif membantu parti sejak Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu calon tempatan seharusnya tidak timbul oleh mana-mana pihak pada PRK kali ini.

"Ini bukan soal tempatan atau sebaliknya. Datin Mastura merupakan calon secara teknikal atau praktikalnya orang sini.

"Beliau bukan asing di sini. Beliau terlibat secara langsung sejak Datuk Wan menjadi Ahli Parlimen dan aktif sama dalam jawatan kuasa parti malah beliau juga pengundi di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dr Zambry merujuk kepada calon BN, Datin Mastura yang tidak dapat menyertai kempen pilihan raya itu kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum Islam apabila seseorang wanita kematian suami.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian suami Mastura, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Dalam pada itu Dr Zambry berkata, BN sudah bersedia untuk menghadapi PRK pada 18 Jun ini.

"Saya tidak mahu komen tentang calon lain, paling penting komitmen calon kita daripada dulu lagi dia sudah menyumbang sebenarnya selama ini bersama suaminya. Dia bukan calon asing yang datang dari luar.

"Saya lihat setiap parti mula membuat persiapan awal mereka untuk menghadapi proses penamaan calon dan masing-masing sudah mula bergerak bertemu pengundi," jelasnya.

Sebelum ini, Mastura dilaporkan berkata, beliau sekadar penyambung kepada perjuangan serta memikul amanah untuk meneruskan khidmat bakti arwah suaminya kepada orang Kuala Kangsar.

Tambahnya, beliau memanjatkan doa agar sokongan orang Kuala Kangsar kepada parti dan arwah dapat diteruskan pada PRK yang bakal diadakan.