Datang ceramah dapat RM100?

Sinar Harian
Mei 3, 2018 00:21 MYT
Shuhaimi menunjukkan mesej yang menawarkan wang tunai kepada pengundi yang hadir ceramah. - Foto Sinar Harian
Calon Pakatan Harapan (Harapan) DUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei mengecam tindakan pihak tertentu yang menggunakan talian peribadinya untuk menghantar mesej kepada pengundi dengan menawarkan wang tunai jika mereka hadir ke satu program ceramah, malam semalam.
Mesej berkenaan mengajak orang ramai ke ceramah Umum PKR untuk DUN Sungai Kandis oleh menteri besar jam 9 malam di Pusat Rakan Muda, Taman Sri Andalas. Makan, minum dan elaun kehadiran disediakan (RM100) semua dijemput hadir.
Menurutnya, mesej berkenaan dihantar kepada pengundi-pengundi di DUN Sungai Kandis dan juga Parlimen Kota Raja sebelum hari kejadian.
“Pada pagi semalam ada pengundi yang menelefon saya termasuk terima 68 mesej, ada yang memarahi saya tidak kurang juga yang gembira dan mempertahankan bahawa ia bukan dilakukan saya.
“Bila saya teliti mesej berkenaan, pengundi turut ditawarkan wang RM100, RM1,000 dan juga US100 dolar jika mereka hadir ke program tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Utama Dun Sungai Kandis, di sini, pada Rabu.
Pada Shuhaimi, perbuatan demikian adalah sangat tidak bertanggungjawab dan melampau.
“Perbuatan itu adalah satu pencerobohan kepada nombor telefon peribadi saya jadi saya menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat siasatan secara terperinci," katanya.
Ketua Penerangan PKR Selangor itu turut mengakui pihaknya dapat mengagak mereka yang terlibat dalam perbuatan itu.
“Saya syak dan boleh mengagak siapa yang terlibat membuat kerja kotor itu.
“Sekarang saya sedang menunggu nasihat peguam untuk membuat laporan polis dan SKMM,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 5,000 hadir ke ceramah Jelajah Pakatan Harapan bagi Dun Sungai Kandis di Pusat Rakan Muda, Taman Sri Andalas, Klang, semalam.
Ceramah itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; calon Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu, calon Dun Sentosa, Dr G Gunarajah, calon Kota Kemuning, V Ganabatirau dan Shuhaimi sendiri.
#ceramah #Dun Sungai Kandis #elaun kehadiran #MalaysiaMemilih #melampau #mesej #Pakatan Harapan #pencerobohan #pengundi #PKR #PRU14 #RM100 #Selangor #Shuhaimi Shafiei #siasatan #SKMM #telefon peribadi #tidak bertanggungjawab