Dasar keselamatan dalam negeri penting, kata Zahid

Ashwad Ismail
Julai 10, 2014 07:30 MYT
Dasar keselamatan dalam negeri penting, kata Zahid
Perubahan persekitaran global dan domestik mendedahkan negara kepada pelbagai risiko terhadap ekonomi-politik dan sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, Malaysia perlu merangka dasar keselamatan dalam negeri sebagai mempersiap siaga negara ke arah pembentukan sebuah negara maju.
"Dasar keselamatan dalam negeri menjadi penting sebagai persiapan menghadapi permasalahan di masa hadapan, kita lihat dasar pertahanan negara telah dibuat dua kali, tetapi dasar keselamatan dalam negeri belum ada lagi," kata Ahmad Zahid semasa ditemubual secara ekslusif oleh Astro AWANI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Polisi berkenaan dilihat mampu membentuk pengurusan keselamatan lebih sistematik dan strategik serta menjadi garis panduan yang lebih komprehensif.
"Bukan tanpa dasar itu keselamatan tidak ditangani, tetapi pemimpin itu datang dan pergi. Begitu juga pemimpin dalam kementerian dan kepolisan. Tapi jika garis panduan yang menggaris di bawah perlaksanaan program, bagi saya ia lebih baik." katanya.
Aktiviti militan, dakyah radikal, polarisasi kaum, ekstremisme agama, jenayah rentas sempadan dan pemerdagangan manusia antara risiko terhadap persekitaran ekonomi dan kestabilan.
Tambahnya, cabaran dalam mengukuhkan keharmonian tidak hanya bergantung kepada pendekatan keselamatan dan pertahanan semata-mata.
"Yang penting bukan sahaja undang-undang dan penguatkuasaan, tetapi keterlibatan semua masyarakat, pemimpin NGO, pemimpin agama, pemimpin korporat bekerjasama menjamin imej negara terjaga," tegas Ahmad Zahid.
Memerangi ekstremisme dan penyebaran ideologi ganas contohnya, memerlukan pendekatan aspek pendidikan yang mengangkat prinsip kesederhanaan dalam kalangan masyarakat.
"Dari segi keharmonian, silang budaya, harus dipertahankan. Bukan hanya menukar Akta Hasutan kepada akta lain tetapi yang penting ialah menjaga dan menghargai kemajmukan antara agama, antara kaum dan budaya yang berbeza," ujar beliau.
Malaysia berdepan dengan macam-macam cabaran baharu ketika sedang aktif berperanan menjadi sebuah negara kuasa tengah (middle power) rantau Asia menjelang 2020.
Senario ini menjadikan Malaysia terdedah kepada pelbagai elemen risiko baik dari dalam mahu pun luar negara.
Ahmad Zahid bagaimanapun mengingatkan, apa pun dasar baharu yang mengukuhkan ketahanan nasional perlu dirangka mengikut acuan Malaysia.
#Ahmad Zahid Hamidi
;