Darurat kerana Muhyiddin tidak yakin menang undi Belanjawan di Parlimen - DAP
Astro Awani
Oktober 24, 2020 15:13 MYT
Oktober 24, 2020 15:13 MYT
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat yang dipohon perkenan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu telah hilang majoriti.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan tindakan Muhyiddin itu juga membuktikan beliau tidak mempunyai keyakinan memenangi undian Belanjawan 2021 di Parlimen.
Guan Eng berkata, kenyataan Menteri Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa seperti mengakui bahawa pelaksanaan kuasa darurat adalah untuk mengelakkan pilihan raya yang secara tidak langsung mengakui usaha melindungi kedudukan mereka yang berkuasa.
"Perkara ini jelas tiada kaitan dengan COVID-19 ketika laporan daripada The Star yang dimiliki oleh MCA secara terbuka mengakui bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika "aktiviti politik".
"The Star menulis bahawa Belanjawan 2021 akan dibentangkan kepada kabinet, dan dapat diluluskan tanpa undian daripada semua 222 Ahli Parlimen (AP), kerana Parlimen sudah tidak berfungsi dalam keadaan darurat.
"Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada Perdana Menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru, Guan Eng menggesa Muhyiddin meletak jawatan kerana kegagalannya melaksanakan penuh di rumah kepada mereka yang kembali dari Sabah berikutan Pilihan Raya Negeri pada 26 September, 2020.
"Sebaliknya, beliau dan Perikatan Nasional telah memilih untuk meruntuhkan demokrasi berparlimen dengan cubaan perisytiharan darurat untuk mengorbankan rakyat dan ekonomi negara demi menyelamatkan dirinya dan mengekalkan kekuasaan dengan apa cara sekalipun," katanya lagi.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir rakyat untuk mengelakkan pengumuman darurat yang tidak wajar itu.
"Rakyat Malaysia memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar," katanya.