Daripada saya maki pihak lawan, baik saya kempen tentang agenda negara - PM Najib

Firdaus Azil
Mei 4, 2018 22:02 MYT
Kempen kita patut berkisar tentang agenda kita untuk rakyat, agenda kita untuk masa depan negara, agenda untuk bawa transformasi, kata PM Najib
Lebih baik menumpukan agenda pembangunan negara berbanding mengambil pendekatan mencaci maki pihak lawan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya lagi, pendekatan menghina atau mencaci pihak lawan bukan gaya kempen yang berkesan kerana apa yang penting ialah memberitahu pengundi tentang visi dan misi Barisan Nasional untuk meneraju negara ke tahap seterusnya, dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya patut boleh (mengambil pendekatan menghina lawan) sebab yang menentang saya, mengamalkan cara seperti ini. Tetapi saya memilih untuk bercakap secara berhemah dan menerangkan kepada tuan-tuan tentang agenda kita.
“Kempen kita patut berkisar tentang agenda kita untuk rakyat, agenda kita untuk masa depan negara, agenda untuk bawa transformasi. Siapa punya agenda yang lebih baik, diyakini, siapa sebenarnya yang boleh deliver perubahan dan transformasi yang dihasratkan,” katanya ketika berucap di Majlis Santai Industri Pelancongan Langkawi, di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri lagi, agenda negara itu lah kayu pengukur yang muktamad, yang dirasakan dapat menarik kembali sokongan rakyat untuk terus memberi mandat kepada Barisan Nasional.
Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan 18 inisiatif khusus bagi merancakkan lagi pembangunan Langkawi sebagai pusat pelancongan terkemuka antarabangsa, serta meningkatkan lagi tahap sosio-ekonomi penduduk setempat.
Datuk Seri Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional mempunyai hasrat dan pelancongan untuk membawa Langkawi menjadi sebuah destinasi pelancongan yang tersohor, serta tercatat dalam peta industri pelancongan dunia.
"Dengan menentukan bahawa kesannya itu akan mengalir sehingga ekosistem pelancongan kita adalah begitu menyeluruh melibatkan bukan saja hoteliers, sampailah kepada mereka yang menjual di bazar-bazar, perusahaan kecil sederhana, homestay, pemandu teksi, pemandu pelancong, dan lain-lain lagi.
“Yang semuanya akhirnya kita nak pastikan bahawa rakyat di pulau Langkawi ini akan mendapat rahmat dan manfaat daripada pembangunan industri pelancongan,” katanya lagi.
18 inisiatif baharu kerajaan itu, antara lainnya, ialah mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai pusat sehenti untuk masyarakat Langkawi mendapatkan perkhidmatan dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, serta agensi-agensi berkaitan dengan lebih pantas dan efisyen.
Selain itu, turut diumumkan, peruntukan RM100 juta di bawah SME Bank untuk pengusaha setempat; geran RM5,000 untuk 1,000 peniaga kecil-kecilan; peruntukan RM10,000 di bawah TERAJU untuk 200 usahawan; serta penubuhan Akademi Pelancongan Langkawi yang bakal menelan belanja RM12 juta.
Turut menarik perhatian ialah pembinaan Langkawi Premium Outlet, yang dijangka dapat menarik pelaburan swasta sebanyak RM200 juta; mewujudkan litar motocross; serta membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang dapat menampung kapasiti sehingga 3 juta pelancong.
#agenda #Barisan Nasional #Langkawi #Malaysia Memilih #Najib Razak #pelaburan #pelancongan #Perdana Menteri #teksi
;