Dari PRU ke-13 sehingga Ogos 2014...apa nasib Abdul Khalid selepas ini?
Astro Awani
Ogos 11, 2014 07:33 MYT
Ogos 11, 2014 07:33 MYT
Desas-desus pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan cerita baru bagi negeri itu.
Bibit-bibit kekecohan sebenarnya sudah mula dibaca sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Pada April 2013, Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membayangkan nama lain untuk diketengahkan sebagai calon MB baharu negeri itu.
Ia berikutan tiada sebarang pengumuman dibuat untuk mengesahkan sama ada Abdul Khalid bertanding atau tidak di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Namun, pada ketika itu, apabila Abdul Khalid disenarai pendek sebagai antara empat calon PKR bagi kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang pada PRU ke-13, ia memberi petanda bahawa Abdul Khalid mungkin kekal sebagai Menteri Besar Selangor jika pakatan pembangkang masih dapat menguasai Selangor pada PRU ke-13.
Nasib menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), mereka terus diberi kepercayaan untuk mengemudi negeri namun bibit-bibit perpecahan mula menampakkan retak.
Pada waktu itu, beberapa penganalisis politik mula membayangkan PKR akan lumpuh sekiranya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali meninggalkan parti itu dan tidak dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Bagaimanapun Abdul Khalid diberi kepercayaan untuk terus menjadi MB dengan tiga sebab dikemukakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk pelantikannya.
Sebab utama adalah kerana komponen PR hanya mengemukakan satu nama sebagai calon MB baharu, pelantikan itu juga berdasarkan pengalaman Khalid yang pernah menjawat jawatan berkenaan sebelum ini selain memenuhi syarat sebagai Menteri Besar Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Pada awal waktu pemerintahan Abdul Khalid, pelbagai isu cuba diselesaikannya terutama air dan rumah mampu milik.
Abdul Khalid juga tidak lepas daripada 'diganggu' orang dalaman PR sendiri yang dilihat masih mengidamkan kerusi panas MB berkenaan.
Abdul Khalid dilihat tenang dan melihat setiap isu yang timbul termasuk menafikan Azmin mahu mengambil alih jawatannya kerana pemerintahannya didakwa lemah oleh sesetengah pihak.
Khalid dilihat terus menonjol dengan mengumumkan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN berkuat kuasa 1 Jan 2014 pada Persidangan DUN, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.
Ia mencatat kenaikan gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.
Januari 2014 mencatat sejarah sekali lagi apabila PKR dilihat mula retak kembali.
Ia seolah-olah tidak boleh dibendung lagi dengan beberapa isu melibatkan pengguguran ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali daripada Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilihat pencetus kemelut krisis Selangor.
Situasi tuduh menuduh mula berlaku dan kerusi Abdul Khalid kembali panas dengan dakwaan ada desakan alam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang meminta Abdul Khalid dipecat.
Bagaimanapun ia dinafikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Pada bulan sama, Abdul Khalid semakin lantang dengan kenyataaan boleh meletakkan jawatan sekiranya kepimpinan pakatan pembangkang mencapai konsensus dan mendapat perkenan Sultan Selangor berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada perbincangan dilakukan pucuk pimpinan tiga parti pembangkang dalam pakatan itu mengenai perkara berkenaan.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari yang membayangkan bahawa beliau berkemungkinan bakal menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 23 Mac.
Anwar pada masa itu yang dinamakan calon PRK Kajang memberitahu bahawa kemungkinan mengenai perkara tersebut sememangnya ada dan perbincangan akan dilakukan bersama Pakatan Rakyat.
Pada masa sama Abbdul Khalid menafikan laporan berita bahawa beliau enggan menandatangani surat peletakan jawatan bertarikh tunda sebagai Menteri Besar Selangor untuk memberi laluan kepada Anwar mengambil alih jawatan itu.
Abdul Khalid berkata tidak ada surat seperti itu dan laporan itu tidak berasas.
Waktu berlalu dan Anwar terpaksa merelakan pencalonannya di Kajang diambil isterinya, Wan Azizah kerana kes mahkamah.
Dan Wan Azizah memenangi kerusi DUN Kajang dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.
Pada April, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi mula mendesak supaya pimpinan Pakatan Rakyat mengambil tindakan segera memecat Abdul Khalid ekoran dakwaan kekecewaan DAP kerana kegagalan Abdul Khalid dalam menangani masalah air di Selangor.
Isu itu 'ditangkap' Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mempersoalkan kredibiliti Abdul Khalid selain bersedia untuk menamakan calon yang layak menggantikannya.
Zuraidah turut melabel Abdul Khalid sebagai "angkuh" dan tidak memainkan peranan beliau dalam parti selain bertindak secara pasif.
Abdul Khalid segera memberi reaksinya dengan kenyataan tidak bercadang untuk mempertahankan jawatan itu untuk penggal ketiga namun terus terus berkhidmat hingga ke akhir penggal ini.
Isu itu kembali panas dan mencari klimaks pada Julai dengan Ketua Angkatan Muda (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin terus mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatannya.
Katanya, isu itu sudah diputus sejak 15 Januari sekali gus Abdul Khalid perlu patuh dengan desakan tersebut.
Isu ini semakin mendapat liputan media selepas Abdul Khalid dilihat hampir pasti tidak dapat lagi mempertahankan kedudukannya.
Bagaimanapun DAP dan PAS sendiri tidak sepakat dengan nama Wan Azizah yang dipilih selain mahu Abdul Khalid terus mengemudi kepimpinan negeri sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal.
Nasib Abdul Khalid pada waktu itu seakan teka-teki bagi Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Selangor sendiri.
Dalam pada itu, majoriti pembaca Astro AWANI ingin melihat Abdul Khalid dikekalkan sebagai MB susulan dilema politik yang melanda Pakatan Rakyat.
Menurut undian yang dijalankan oleh Astro AWANI pada Isnin, sebanyak 62.42 peratus orang mahu Abdul Khalid dikekalkan.
Sehingga 10 Ogos, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan Abdul Khalid akhirnya dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.
Ia dilihat rentetan selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.
Bagaimanapun pada 11 Ogos, Sultan Selangor memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.
Abdul Khalid dalam satu kenyataan menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, beliau kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Sementara itu pada petang 11 Ogos, satu kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mencabar Abdul Khalid membuktikan sokongan majoriti DUN seperti dinyatakan kepada Sultan Selangor pada pagi Isnin.
Apa nasib Abdul Khalid selepas ini?