DAP tidak punya masa depan - Tiong Lai

Astro Awani
Disember 16, 2017 19:39 MYT
Tiong Lai berkata, DAP tiada masa depan kerana tidak berprinsip dan bersemangat serta dilihat gagal membawa rakyat negara ini ke mana-mana. - Gambar Astro AWANI
DAP disifatkan tiada masa depan kerana tidak berprinsip dan bersemangat serta dilihat gagal membawa rakyat negara ini ke mana-mana.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembangkang di negara ini merupakan parti yang tidak mempunyai pendirian asas sebaliknya hanya memperjuangkan sesuatu untuk kepentingan parti masing-masing sahaja.
Menurutnya, ia cukup jelas, DAP sekadar mahu merebut kuasa kerana tiada teras dan nilai yang sama selain sering membuat pusingan U.
Malah kata beliau, perkara itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menjadikan empat komponen iaitu mementingkan kerjasama, mengutamakan perasaan hormat menghormati dan mewujudkan perpaduan serta keharmonian sebagai nilai teras perjuangan.
"Kita beritahu mereka sebenarnya DAP, PKR, PPBM, Amanah adalah pakatan yang tidak mempunyai nilai teras yang sama sebaliknya hanya untuk parti masing-masing sahaja.
"Terutama DAP, mereka tidak ada prinsip dalam kerjasama. Dulu dengan Pas... kemudian PPBM. Ini menunjukkan mereka parti yang mementingkan kuasa tetapi ia tidak ada prinsip dari segi perjuangan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program MCA Bersama Rakyat Kawasan Parlimen Tebrau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Pei Chih, Ulu Tiram Johor.
Dalam pada itu, beliau yang Menteri Pengangkutan turut mengumumkan bahawa MCA sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan telah menghantar senarai nama calon untuk bertanding mewakili parti itu.
Katanya, surat juga telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan parti itu menunggu pengumuman rasmi daripada pucuk pimpinan.
Antara calon yang dikenal pasti di negeri itu, katanya, ialah Naib Presiden MCA, Datuk Dr Hou Kok Chung yang bakal bertanding kerusi Parlimen Tebrau dan Datuk Tan Cher Puk bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.
"Kita mahu menang kembali kerusi DUN Johor Jaya dan beliau (Tan) adalah orang yang paling layak.
"Walaupun tewas sebelum ini, beliau tetap terus memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk kawasan itu serta tidak menghiraukan tekanan daripada mana-mana pihak," katanya.
#Amanah #BN #DAP #Datuk Seri Liow Tiong Lai #Johor #PKR PPBM #Presiden MCA #rakyat #Ulu Tiram
;