DAP tidak akan sokong PN di Parlimen - Abdullah Sani
Astro Awani
Ogos 13, 2021 12:47 MYT
Ogos 13, 2021 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Spekulasi penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang didakwa akan menyelamatkan majoriti tipis Kerajaan Perikatan Nasional dalam usul undi percaya di Parlimen, September depan adalah tidak benar.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini, berkata ini termasuk dakwaan bahawa DAP akan memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang itu kelak.
Ahli Parlimen Kapar itu turut melahirkan keyakinan semua Ahli Parlimen pembangkang sepakat bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini semua tidak betul. Mereka (DAP) tidak terlibat langsung dalam CSA ini dan saya telah mengesahkan dengan mereka. Semua bersama kita. Tidak ada seorang pun lari.
"Malah, ada antara pemimpin DAP pun sudah buat kenyataan untuk tidak menyokong Muhyiddin. Jadi tunggulah sidang Parlimen nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, ada spekulasi kemungkinan DAP akan menyokong Muhyiddin dalam usul percaya Perdana Menteri melalui perjanjian CSA.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai usaha sia-sia menjatuhkan Muhyiddin yang berkemungkinan besar akan berpihak atau memberi manfaat kepada UMNO.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan, sebilangan ahli Parlimen PKR dan DAP dipercayai akan menyelamatkan majoriti tipis Kerajaan PN dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.
Ia sekali gus dikatakan kejutan terbesar yang disebut-sebut berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen dua parti terbabit cenderung berpihak kepada PN.
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Perdana Menteri
#UMNO
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#PKR
#Muhyiddin Yassin